PMS terap budaya amalan hijau kepada warga kampus

Che Alias (kiri) dan Razali menunjukkan antara karya daripada barang terbuang dihasilkan peserta.
Che Alias (kiri) dan Razali menunjukkan antara karya daripada barang terbuang dihasilkan peserta.
A
A
A

MUADZAM SHAH - Politeknik Muadzam Shah (PMS) bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi membudayakan amalan hijau dalam kalangan warga kampus itu.

Pengarah PMS, Che Alias Mohd Yusof berkata, kerjasama itu antara pendekatan pihak kampus dalam membina masyarakat kampus dan komuniti setempat dengan budaya sayangi keindahan dan kebersihan alam sekitar.

Menurutnya, selaras dengan matlamat itu, Unit Teknologi Hijau PMS, menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk SWCorp cawangan Muadzam Shah.

"Terbaharu, PMS bersama SWCorp cawangan Muadzam Shah telah bekerjasama menjayakan pertandingan ‘Waste to Art’ sebagai satu pendekatan dalam memberikan pendidikan berkenaan kepentingan kitar semula.

"Pertandingan disertai 112 pelajar itu dengan pelbagai hasil ciptaan berasaskan bahan terpakai.

"Menariknya, semua peserta diwajibkan menyerapkan tema kitar semula dan unsur penghijauan alam sekitar dalam ciptaan mereka," katanya.

Che Alias berkata, melalui pertandingan reka cipta berasaskan bahan terbuang itu, para pelajar dapat didedahkan kepada budaya dan kaedah melestarikan kehijauan dan kebersihan persekitaran.

"Pertandingan ini juga fokus kepada penghasilan rekacipta arca berdasarkan kreativiti dan inovasi dengan menggunakan bahan sisa terpakai.

Artikel Berkaitan:

"Program ini juga boleh dijadikan acara wajib tahunan bagi membudayakan sikap cintakan kebersihan dan menghargai alam," ujarnya.

Tambah beliau, inisiatif itu signifikan dan relevan dengan objektif Kempen Pengasingan Sisa di Punca.

"Barang terpakai atau terbuang masih mempunyai nilai komersial sekiranya ia diolah kembali menjadi satu produk berinovasi dan artistik," jelas beliau.

Sementara itu katanya, penggunaan semula sisa terpakai dapat membantu mengurangkan penjanaan sisa ke tapak pelupusan.

"Ia juga bertepatan dengan intipati kolaborasi dalam konteks perkongsian ilmu, sumber dan kepakaran berkaitan pengurusan sisa pepejal bagi mencapai persekitaran hijau serta mampan khususnya di bandar Muadzam Shah ini,’ ujarnya lagi.

Majlis perasmian penutup Pertandingan 'Waste to Art' itu berlangsung di Dewan Sri Muadzam, PMS dan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Ir Razali Kassim baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!