Public Bank sedia bantuan khas tangani penipuan kewangan
PUBLIC Bank Bhd telah mengambil langkah tambahan untuk menangani trend ‘scam’ (penipuan) yang semakin meningkat termasuk memberi bantuan 24 jam kepada pelanggan melalui Unit Pengurusan Kes.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, unit ini mempunyai kakitangan terlatih dan berpengalaman untuk memberi bantuan diperlukan kepada pelanggan yang menjadi mangsa penipuan tersebut.
"Masa itu emas, justeru itu kakitangan Public Bank sentiasa bersiap siaga untuk membantu pelanggan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,” katanya.
Sekiranya pelanggan menyedari ada sesuatu yang tidak betul dalam akaun mereka, hubungi Hotline Unit Pengurusan Kes melalui 03-21773555 untuk bantuan.
Selepas menerima laporan mengenai penipuan, akses pelanggan kepada Perbankan Internet PBe dan Perbankan Mudah Alih PB engage ditamatkan serta-merta, ia bagi mengelakkan urus niaga pemindahan tanpa kebenaran dan pada masa yang sama pihak bank akan bertindak mendapatkan semula dana tersebut.
Public Bank berkata, sejak bulan Mac lepas pelanggan boleh nyahaktif akses kepada Perbankan Internet PBe dan Perbankan Mudah Alih PB engage sekiranya berlaku perkara yang mencurigakan melalui laman log masuk PBe.
Pengaktifan semula hanya boleh dibuat di cawangan atau oleh kakitangan di Unit Pengurusan Kes Public Bank melalui penentusahan yang perlu, katanya.
Public Bank akan terus menitikberatkan aspek keselamatan perbankan bagi memastikan pelanggan dapat menjalankan urus niaga perbankan dalam talian dalam persekitaran yang terjamin dan selamat.
Lima langkah penting bagi membanteras penipuan kewangan yang diumumkan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunos pada Pameran Jenayah Kewangan 2022 pada 26 September lepas akan meningkatkan tahap keselamatan perbankan dalam talian secara berkesan.
Public Bank juga telah meningkatkan usahanya untuk melindungi akaun pelanggan dengan memperkenalkan pelbagai langkah tindak balas dalam sistem pengesanan dan pencegahan berdasarkan modus operandi penipuan yang terancang.
"Sistem berkenaan akan menhapuskan urus niaga yang mencurigakan yang dilakukan kepada akaun pelanggan dan sistem tersebut sentiasa disemak semula bagi menentukan keberkesanannya.
"Pelanggan yang membuat pindahan kepada benefisiari baharu melalui PBe dan PB engage juga akan menerima mesej amaran yang meminta mereka supaya berhati-hati sebelum membuat pindahan,” katanya.
Selain itu, Public Bank telah menggerakkan kaedah penentusahan yang lebih terjamin melalui token keselamatan aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai PB SecureSign (PBSS) pada Perbankan Mudah Alih PB engage sejak bulan Ogos 2020 yang akan bertindak balas terhadap taktik penipuan oleh scammer menggunakan Kit Pakej Android.
PBSS hanya boleh mengikat satu peranti mudah alih dengan proses pengaktifan yang ketat, pelanggan yang telah mendaftar dengan PBSS pada PB engage dikehendaki untuk mengaktifkannya melalui cawangan, mesin pengeluaran automatik (ATM) atau dengan menghubungi Sokongan Pelanggan PBe.
"Public Bank akan membenarkan urus niaga diluluskan melalui aplikasi PB SecureSign (PBSS) untuk Perbankan Internet PBe menjelang bulan Oktober, 2022.
"Sama dengan PB engage, PBSS pelanggan yang diaktifkan boleh membenarkan urus niaga dibuat menerusi kaedah penentusahan yang lebih terjamin, ia akan menggantikan Kod Penentusahan PBe (PAC) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang akan ditamatkan kelak,” kata Public Bank.
Bagi separuh pertama 2022, kira-kira 500,000 akaun pelanggan berjaya dihalang dan diselamatkan daripada cubaan pemindahan tanpa kebenaran berjumlah sekitar RM900 juta ke dalam akaun keldai.
Akaun keldai adalah akaun bank yang digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela oleh pemilik akaun tersebut dengan cara penipuan untuk urus niaga kewangan.
Public Bank komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk menangani ancaman keselamatan tersebut dan sudah pun memulakan usaha pendidikan yang intensif untuk memaklumkan kepada pelanggan mengenai trend dan modus operandi terkini penipuan yang berlaku.
Usaha pendidikan itu termasuk meningkatkan kesedaran pelanggan dengan tidak klik pautan yang tidak diketahui kesahihannya, menjaga kerahsiaan dan maklumat perbankan mereka, berhati-hati terhadap aplikasi yang mencurigakan sebelum muat turun bagi memastikan peranti mereka kekal selamat pada setiap masa.
Pelanggan boleh melayari laman mikro Online Security Public Bank melalui https://www.pbebank.com/onlinesecurity/index.html dan sentiasa cakna terhadap maklumat terkini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!