Bangi Golf Resort bakal jadi pusat sehenti dapatkan durian
Bangi Resort Hotel terletak di Bangi, Selangor adalah hotel berbentuk vila ala Sepanyol. Hanya kira-kira 20 minit dari Kuala Lumpur dan Seremban.
Dari kiri: Alex, Raymond, Vasanthan,Tan dan Y.W Too merupakan pakar dalam tanaman di Bangi Farm Resort.
Ban Keat berada di tapak semaian pokok yang akan ditanam di kebun Bangi Farm Resort.
Penanaman paulownia dan avakado di Bangi Farm Resort.
A
A
A
Ia memfokuskan tanaman buah-buahan seperti durian, avacado dan lebih 50 jenis tanaman eksotik, bakal beri pengalaman menarik kepada pengunjung merasai suasana berada dalam kebun dalam kawasan resort bertaraf lima bintang.
Selain pokok buah-buahan dan tumbuhan, resort ini turut menanam kayu balak spesies paulownia untuk dilihat lebih dekat oleh pengunjung.
Pengusaha Bangi Farm Resort, Tan Ban Keat berkata, idea memperkenalkan kebun buah dalam resort di kawasan bandar ini adalah untuk mencipta kelainan selain menawarkan buah-buahan kepada orang ramai khususnya komuniti di Lembah Klang.
Tambahnya, tahun lalu resort ini mencipta kejayaan tersendiri menerusi anjuran Festival dan Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2018 yang berjaya mengumpulkan pengusaha durian dari seluruh negara.
"Dari situ, saya mula menyuarakan hasrat untuk membangunkan kawasan ini. Ternyata ia dapat sambutan baik. Saya berkolaborasi dengan beberapa pakar dalam tanaman masing-masing antaranya, pakar tanaman durian dan pemilik Koman Hill, Vasanthan Valasalan; pakar tanaman avakado, YW Too; pakar kayu balak paulownia, Raymond Lee; dan pakar tanaman buah-buahan eksotik seperti epal, pear dan anggur, Alex Hong," katanya.
Jelasnya, Bangi Farm Resort mempunyai beberapa fasa untuk dibangunkan dan tanaman setiap buah-buahan akan dilakukan secara berperingkat.
Resort pertama mesra durian
Ban Keat berkata, setakat ini terdapat 200 pokok durian musang king, 500 pokok buah tin, 50 pokok avakado dan beberapa pokok kayu keras paulownias, pokok jagung, mulberi berserta tumbuhan lain seperti ulam raja, serai, bunga telang dan macam-macam jenis tanaman lain.
"Selain menikmati pemandangan hijau di sini, pengunjung berpeluang mempelajari ilmu pertanian secara lebih dekat di ladang pertanian bersama pengusaha ladang dan pakar dalam bidang itu," katanya.
Katanya, resort ini mengetengahkan konsep dari kebun ke meja sebagai satu aspirasi di mana pihak resort mempunyai tanaman sendiri yang boleh dipetik bila-bila masa untuk digunakan.
"Kami harap resort ini beri pengalaman luar biasa kepada pengunjung dengan penambahbaikan kemudahan sedia ada. Malah, Bangi Golf Resort, kini menjadi antara resort pertama di Malaysia yang mesra durian, dan sentiasa mengalu-alukan peminat buah-buahan terutamanya raja buah itu.
"Bangi Golf Resort juga bakal menyajikan menu istimewa untuk bufet Ramadan bermula 1 Mei ini dengan tawaran menu makanan berasaskan durian. Antaranya pencuci mulut, kopi durian, durian gelato, dan pelbagai aneka menu berasaskan raja buah ini," katanya.
Bukan untuk tujuan eksport
Ban Keat berkata, lebih menariknya tumbuh-tumbuhan terdapat di Bangi Farm Resort akan membuahkan hasil lebih cepat dalam tempoh tiga hingga lima tahun tanpa penggunaan bahan kimia mahupun suntikan hormon.
"Kami menjalankan aktiviti pertanian ini bukan untuk tujuan eksport dan mementingkan keuntungan. Kami mahu mengetengahkan suasana dusun dan alam semula jadi yang memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung.
"Pihak kami akan membangunkan tanaman buah-buahan seluas 14 hektar pada 2018 dan merancang membangunkan 40 hektar dalam tempoh lima tahun.
"Tahun ini, kami akan tanam 1,000 pokok durian di atas tanah seluas 12 hektar dan penambahan 20 hektar lagi pada tahun akan datang, 0.4 hektar untuk tanaman avakado melibatkan 50 pokok dan buah-buahan eksotik melibatkan 500 pokok manakala 1,000 pokok kayu balak ditanam di atas tanah seluas 2 hektar sementara penanaman durian melibatkan lebih 50 jenis durian," katanya.
Jelasnya, kebun seluas 40 hektar ini akan diselaraskan dengan pembinaan fasa kedua hotel yang mempunyai 500 bilik dan akan dibangunkan dalam masa terdekat ini.
Katanya, untuk menjayakan Bangi Farm Resort, pihaknya telah mengadakan perjanjian persefahaman bersama Mardi untuk kepakaran dalam teknologi makanan dan pertanian, penyelidikan dan pembangunan serta agro pelancongan.
Avakado dalam dusun durian
YW Too berkata, avakado dijadikan tanaman sampingan dalam dusun durian dan ia boleh mengeluarkan hasil lebih cepat, dalam tempoh tiga tahun.
"Kami cuba tanam avakado dengan lebih sistematik menggunakan tanah secara efektif tetapi mengeluarkan hasil buah yang maksimum. Kita gabungkan penanaman durian bersama avakado kerana sebelum ini ia lebih sinonim dengan buah-buahan lain seperti langsat dan manggis.
"Kita cuba ubah persepsi masyarakat mengenai avakado adalah yang terbaik daripada Filipina, Australia, New Zealand kepada tempatan kerana negara mampu mengeluarkan avakado setanding negara-negara itu.
Sementara itu, Vasanthan pula yakin tanaman durian terdiri daripada pelbagai variasi ini akan menghasilkan 5,000 tan metrik bagi memenuhi permintaan penggemar raja buah itu.
"Penanaman durian di Bangi Farm Resort masih mengekalkan penanaman cara kampung dan proses penanaman lebih senang berikutan mempunyai kemudahan fasiliti di sini," katanya.
Selain, mempunyai dusun sendiri, Bangi Farm Resort turut mempunyai pusat semaian tanaman sendiri. Malah, ia juga akan mempunyai 10 kolam yang akan dibangunkan untuk penternakan ikan antaranya empurau dalam masa terdekat.
"Kita juga akan membangunkan rumah hijau untuk penanaman 500 pokok buah tin menggunakan kepakaran dari Filipina, dijangka akan bermula pada April ini," katanya.
Tambahnya, Bangi Farm Resort turut memfokuskan penganjuran seminar untuk berkongsi maklumat mengenai penanaman durian.
"Ia akan mendedahkan kepada peserta mengenai kaedah penanaman, penjagaan pokok dan sebagainya. Seminar terdekat akan diadakan pada 27 April ini. Turut diadakan, seminar penternakan arnab pada 21 April," katanya.
Tanaman eksotik mula ditanam pada Mei
Menurut Alex, penanaman tanaman 50 eksotik seperti markisa hitam dan oren, epal, laici dan anggur akan mula ditanam Mei ini.
"Tanaman eksotik ini menggunakan benih diperoleh daripada beberapa negara. Pada peringkat permulaan, kami hanya memulakan penanaman melibatkan tiga pokok bagi setiap jenis buah eksotik di atas tanah berkeluasan 2 hektar, sebagai eksperimen untuk melihat sejauh mana pokok ini boleh hidup di negara ini.
Alex berkata, ladang itu akan berfungsi sebagai muzium dengan menawarkan pengalaman suasana inap desa kepada mereka yang datang untuk melihat dan mempelajari kepelbagaian jenis pokok yang terdapat di resort ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!