Warga emas antara 14 ditahan kes peras ugut sebar gambar bogel
GEORGETOWN - Seramai 14 individu warga tempatan termasuk seorang warga emas ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel melalui media sosial yang melibatkan kerugian sehingga RM306,101.
Mereka yang terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita ditahan dalam operasi khas oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang yang dijalankan bermula 16 hingga 19 September lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semua tangkapan berusia lingkungan 23 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menurutnya, penahanan itu dibuat selepas polis mengesyaki kesemua mereka terlibat dalam sindiket pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel melalui media sosial.
"Siasatan yang dijalankan mendapati kesemua individu yang ditahan merupakan pemilik akaun yang digunakan oleh sindiket. Siasatan mendapati, modus operandi adalah membenarkan akaun bank milik mereka digunakan oleh sindiket.
"Wang penipuan akan dimasukkan oleh mangsa ke akaun mereka sebelum dipindahkan ke akaun milik ahli sindiket," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Kata beliau, semakan mendapati, tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
"Kita merampas 13 buah telefon bimbit pelbagai jenama, lapan keping kat ATM dan sebuah buku bank," katanya.
Mohd Shuhaily berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 76 laporan polis telah diterima di seluruh Pulau Pinang melibatkan sindiket pemerasan.
"Dengan penahanan 14 suspek ini, kita percaya telah berjaya menyelesaikan 12 kes di Pulau Pinang manakala 27 kes masing-masing di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang serta Sarawak.
"Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menjadikan individu yang melayari laman sosial dengan menawarkan perkhidmatan seks.
"Mereka akan menggunakan beberapa aplikasi antaranya Wechat, Facebook, Whatsapp, Michat dan Line untuk mengajak mangsa membuat panggilan video dan memperdaya mangsa untuk mempamerkan aksi lucah untuk dirakam tanpa disedari mangsa," katanya.
Jelas beliau lagi, kerugian paling tinggi direkodkan di negeri ini adalah bernilai RM69,000 melibatkan laporan di Queensbay, Bayan Baru.
"Antara pekerjaan mangsa adalah penjawat awam, pekerja swasta dan penganggur manakala pekerjaan suspek antaranya pekerja swasta, suri rumah, pelajar dan penganggur. Tangkapan dijangka akan bertambah kerana operasi dijalankan secara berterusan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kepada seseorang ketakutan bencana dengan tujuan hendak melakukan pemerasan dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana mengalih atau menyembunyikan harta secara tidak jujur atau secara fraud.
"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana tidak dapat memberi penjelasan dengan memuaskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!