F1: Verstappen enggan terburu-buru kejar kejuaraan
PELUMBA sensasi, Max Verstappen enggan terlalu memikirkan mengenai kejuaraan, sebaliknya selesa memilih jalan selamat kekal tenang menjelang saingan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Singapura hujung minggu ini.
“Saya sebenarnya tidak memikirkan mengenai kejuaraan, tetapi hanya mahu mendapatkan keputusan positif hujung minggu ini dan fokus satu demi satu perlumbaan, tidak perlu terburu-buru,” kata Verstappen.
Pemandu Red Bull itu bakal meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-25 dan ia mungkin lebih bermakna ketika pelumba kelahiran Belanda tersebut mengintai peluang meraih kejuaraan kedua F1.
Verstappen akan menyambut ulang tahun kelahiran pada Jumaat memiliki kelebihan 116 mata mengatasi pencabar terdekat dari Ferrari, Charles Leclerc.
Leclerc yang sudah mengumpul 219 mata pula mempunyai kelebihan sembilan mata mengatasi pelumba Red Bull, Sergio Perez dari Mexico selepas kesemua pemandu melalui 16 daripada 22 perlumbaan musim ini.
Bagaimanapun, Verstappen yang juga penyandang juara mahu fokus dan kekal tenang kerana GP Singapura mempunyai cabaran berbeza berbanding saingan di litar lain.
“Ia litar yang mencabar, cuaca di sini juga bakal memberi kesukaran buat badan kami. Memang susah untuk melakukan satu pusingan sempurna kerana selekoh tajam dan betapa dekatnya dengan dinding,” katanya.
Berbaki lima pusingan selepas perlumbaan di Singapura dengan menawarkan maksimum 138 mata.
Verstappen perlu mengumpul sekurang-kurangnya 22 mata lebih daripada Leclerc dan 13 mata mengatasi Perez, ini bermakna dia perlu mencatatkan kemenangan dan Leclerc menamatkan saingan lapan ke bawah untuk penentuan kejuaraan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!