JPJ keluar 1,319 saman dalam tempoh tiga hari
MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 1,319 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan teknikal sepanjang tiga hari Ops Rentas dilaksanakan yang berakhir pada Khamis.
Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, daripada jumlah itu 556 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kesalahan paling tinggi direkodkan adalah kesalahan memotong barisan dengan 252 notis.
Menurutnya, pengguna jalan raya didapati melakukan kesalahan itu di persimpangan lampu isyarat utama dengan memberikan alasan mahu cepat sampai ke destinasi.
"Operasi itu turut memfokuskan pemandu kenderaan perdagangan yang melanggar kesalahan seperti membawa lebih muatan dengan mencatatkan 131 notis.
"Bagi kesalahan teknikal pula, kesalahan cermin gelap didapati paling tinggi dengan jumlah 120 kes.
"Sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 956 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dan 662 daripadanya diambil tindakan," katanya.
Muhammad Firdaus berkata demikian kepada pemberita selepas Ops Rentas Sempadan Wilayah Selatan Siri 2 2022 di Ayer Keroh di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.
Menurut beliau, Ops Rentas itu melibatkan gabungan JPJ yang terdiri daripada 71 anggota dari JPJ Melaka, 12 anggota masing-masing dari Negeri Sembilan dan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!