Ahmad Syihan layak jadi nombor satu: Azmin Azram
AHMAD Syihan Hazmi Mohamed merupakan pilihan terbaik sebagai penjaga gol nombor satu skuad kebangsaan menjelang saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 bermula Disember ini dan Piala Asia 2023.
Ia susulan persembahan cemerlang ditampilkan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) itu ketika menentang Thailand dan Tajikistan pada kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai baru-baru ini, untuk membantu skuad Harimau Malaya muncul naib juara.
Bekas jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz berkata, pemain berusia 26 itu telah membalas kepercayaan yang diberikan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon apabila mengawal gawang dengan amat baik sekali gus membuktikan kemampuan dimiliki.
"Bagi saya ia satu persembahan yang baik, tiada masalah sikit pun terutama ketika lawan Thailand. Kalau kita tengok empat ‘point-blank save’ yang dia buat, itu peranan sebenar penjaga gol....di saat diperlukan dia cemerlang menyelamatkan keadaan.
"Saya harap dia dapat meneruskan prestasi ini untuk jangka masa panjang....memang buat masa ini dia adalah pilihan sesuai dan terbaik untuk pasukan kebangsaan,” katanya yang juga bekas penjaga gol utama negara ketika dihubungi Bernama di sini.
Pada masa sama, Azmin Azram berkata, beliau bukan mahu menidakkan kemampuan penjaga gol berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohd Farizal Marlias yang lebih kerap menjadi pilihan di gawang negara sebelum ini.
Katanya, dari segi pengalaman aksi antarabangsa Mohd Farizal sememangnya berpengalaman luas, namun dari aspek ketangkasan dan prestasi semasa Ahmad Syihan dilihat mengatasi mana-mana penjaga gol dalam negara.
Saya tak kata Farizal (Mohd Farizal) tidak beraksi dengan baik, faktor pemilihan Syihan (Ahmad Syihan) mungkin disebabkan yang pertama dia muda, kedua dia dah capai kematangan dalam permainan dan ketiga dari segi saiz fizikal.
"Tapi dia (Ahmad Syihan) perlu ingat dia ada pesaing yang menanti untuk diberi peluang seperti Muhammad Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC), yang dari segi fizikal semua hampir sama cuma berbeza minit permainan antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Azmin Azram berkata, Ahmad Syihan perlu terus bekerja keras dan melakukan banyak pengorbanan antaranya dari segi pemakanan, waktu tidur serta aspek pemulihan jika mahu kekal relevan untuk tempoh yang panjang.
"Dia juga perlukan masa berkualiti dengan keluarga kerana itu akan memberi elemen positif dalam kehidupan yang akan beri manfaat kepada kariernya,” katanya.
Dalam dua aksi di Chiang Mai, Ahmad Syihan berada dalam kesebelasan utama pasukan negara sekali gus meraih penampilan ketiganya di pentas antarabangsa selepas menjadi pilihan utama dalam kejayaan 4-1 menewaskan Bangladesh pada saingan kelayakan Piala Asia 2023 di sini, Jun lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!