Polis nafi ada kes cubaan culik di Port Dickson
PORT DICKSON - Polis menafikan berlaku kes cubaan culik di Kampung Paya di sini seperti mana yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semakan juga mendapati hantaran itu telah dipadamkan dan sehingga kini tidak ada sebarang laporan polis diterima berkaitan kejadian yang ditularkan.
"Semakan juga telah dibuat ke atas kereta Proton Saga warna coklat sepertimana yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook terbabit.
"Polis mendapati pemilik kereta tersebut adalah seorang wanita berusia 60 tahun dan kereta itu telah diberi sewa kepada seorang lelaki berusia 27 tahun," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Aidi Sham berkata, kereta Proton Saga itu telah dikesan berada di Melaka dan penyewa tersebut tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Katanya, siasatan lanjut juga mendapati kenderaan yang dimaksudkan tiada membuat sebarang pergerakan di daerah Port Dickson sebagaimana yang telah dimuat naik di Facebook.
Dalam pada itu Aidi menasihatkan masyarakat agar berwaspada sebelum berkongsi atau memuat naik sebarang berita yang tidak sahih serta boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!