Sindiket tidak sempat punggah semua rokok seludup

Siva Kumar (tengah) menunjukkan antara rokok seludup yang dirampas di persisiran pantai Batu Laut, Banting pada Rabu.
Siva Kumar (tengah) menunjukkan antara rokok seludup yang dirampas di persisiran pantai Batu Laut, Banting pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Cubaan sindiket mengaut untung terbantut selepas sejumlah 84,700 kotak rokok seludup bernilai RM1 juta dirampas ketika proses memunggah ke dalam lori di pesisiran pantai Batu Laut, Banting pada Rabu.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, serbuan itu dijalankan kira-kira jam 6 pagi selepas anggota Maritim Selangor mengesan satu vesel yang mencurigakan di Perairan Tanjung Gabang.

Menurutnya, bot Petir 83 yang menuju ke lokasi itu kemudian terserempak dengan sebuah bot pancung enam enjin yang membawa muatan rokok.

"Menyedari kehadiran anggota maritim, bot terbabit yang disyaki dinaiki empat kru warga Indonesia terus memecut laju hingga masuk ke perairan negara jiran.

"Pemeriksaan di pesisiran pantai Batu Laut itu kemudian menemui dua lori dengan muatan rokok seludup yang berada di tebing sungai. Bagaimanapun, pemandu lori terbabit telah melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini pada Khamis.

Dua buah lori yang digunakan untuk memindahkan rokok seludup di persisiran pantai Batu Laut, Banting Rabu lalu.
Dua buah lori yang digunakan untuk memindahkan rokok seludup di persisiran pantai Batu Laut, Banting Rabu lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut berjaya merampas 84,700 kotak rokok seludup bernilai lebih RM1 juta termasuk nilai cukai.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang, pemandu serta pemilik lori bagi kes terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Dipercayai sindiket hanya sempat memunggah kira-kira 70 peratus rokok dari bot untuk dimuatkan dalam lori sebelum memecut laju selepas menyedari kehadiran anggota maritim.

"Maritim percaya sindiket rokok ini membabitkan dalang dari dalam dan luar negara. Usaha mengenal pasti mereka masih dalam tindakan," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

"Orang awam digesa menyalurkan maklumat menerusi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 bagi membantu maritim mengekang kegiatan penyeludupan kontraban khususnya di Selangor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!