Tiada insiden culik, video lama tular semula: KP Johor
JOHOR BAHRU - Polis Johor menafikan berlaku kes penculikan seorang murid di negeri ini seperti yang tular di media sosial ketika ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, video yang tular itu sebenarnya adalah video lama membabitkan seorang lelaki kurang siuman melarikan seorang murid dalam kejadian di Taman Scientex, Pasir Gudang, pada 12 Mei lalu.
Jelasnya, kes tersebut sudah dianggap selesai kerana suspek telah pun didakwa di mahkamah di sini baru-baru ini.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menularkan semula video lama atau sebarang video yang boleh boleh menimbulkan kegusaran orang ramai terutama ibu bapa.
"Mereka yang cuba bangkitkan kegusaran masyarakat, kita akan ambil tindakan. Buat laporan polis jika betul (berlaku sesuatu kejadian) dan kita akan ambil tindakan (siasat).
"Saya ingin berpesan kepada semua supaya berhati-hati semasa memuat naik (video) yang boleh memudaratkan orang awam, semua perkara yang berlaku, polis akan akan ambil tindakan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.
Kamarul Zaman berkata, setakat ini tiada kes seumpama itu berlaku lagi di negeri ini termasuk cerita disebarkan kononnya terdapat van putih yang cuba menculik kanak-kanak.
Katanya, disebabkan video lama yang ditularkan semula itu, ada sekolah menjadi sesak kerana ibu bapa menunggu di luar sekolah bimbang keselamatan anak-anak mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!