Kementah perkenal dasar industri pertahanan tidak lama lagi
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Kementah) bakal memperkenalkan dasar industri pertahanan tidak lama lagi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, di bawah dasar baharu itu akan memberi tumpuan untuk merancakkan sektor perindustrian pertahanan negara.
"Kita akan buktikan pulangan kepada negara kita bukan sahaja dari segi keselamatan dan pertahanan sahaja tetapi ianya akan membantu memperkukuhkan ekonomi negara," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Veteran Angkatan Tentera Kebangsaan di Wisma Pertahanan di sini pada Khamis.
Turut hadir Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar.
Ditanya mengenai pembentangan Bajet 2023 minggu depan, Hishammuddin berharap agar Kementerian Kewangan terus memberikan peruntukan sewajarnya kepada kementerian itu.
Jelasnya lagi, peruntukan itu harus terus disalurkan kerana negara tidak boleh berkompromi mengenai isu keselamatan dan kedaulatan negara.
"Saya harap Kementerian Kewangan tetap memahami isu keselamatan dan pertahanan adalah perkara yang tak boleh dinilai dengan wang ringgit," kata beliau.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan sedang dalam proses untuk menstrukturkan semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) agar ia lebih berfokus dan realistik.
Ujarnya, penstrukturan semula itu akan memfokuskan kepada usaha dalam mendepani keperluan serta isu-isu semasa para Veteran ATM yang semakin mencabar mengikut peredaran semasa.
"Usaha penstrukturan ini turut mempertimbangkan keperluan untuk melibatkan pemegang taruh ketiga "3rd party stakeholder" di dalam majlis agar keputusan yang dibuat dapat menghasilkan kesan dan impak yang tepat buat Veteran ATM di tanah air," katanya.
Tambahnya, langkah itu penting mengambil kira sejumlah 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya veteran ATM Berpencen lebih 100,000; Veteran ATM Tidak Berpencen hampir 80,000; dan di bawah Pencen Terbitan hampir 30,000 ahli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!