Kebocoran Nord Stream 1 & 2: Angkara sabotaj?
MOSCOW - Konflik antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) kembali memuncak selepas Moscow pada Rabu mempersoalkan sama ada Washington bertanggungjawab terhadap insiden kebocoran saluran paip gas dasar Laut Baltik yang dipercayai berpunca daripada angkara sabotaj.
Perkhidmatan keselamatan Rusia, FSB memaklumkan ia telah melancarkan siasatan ‘keganasan antarabangsa’ terhadap kejadian kebocoran berskala besar pada saluran paip gas Nord Stream 1 dan 2 berhampiran Pulau Bornholm setelah laporan awal mendapati ia melibatkan ‘perbuatan yang disengajakan’.
Sementara itu, risikan Sweden turut mengumumkan siasatan sama setelah mereka percaya ia adalah tindakan sabotaj setelah Moscow menghentikan penghantaran bekalan gas ke blok Eropah pada awal bulan lalu sebagai tindak balas terhadap siri sekatan dikenakan Barat.
Ketika ini, sekutu Barat turut mengesyaki Moscow sebagai dalang kejadian tersebut sebagai cubaan mengalihkan perhatian terhadap konflik Rusia-Ukraine dan retorik perang nuklear baru-baru ini.
“Ia bukan berlaku secara kebetulan. Kami akan bertindak tegas terhadap sebarang cubaan untuk menjejaskan infrastruktur tenaga Eropah,” ujar Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell.
Susulan ketegangan yang semakin memuncak, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan bersidang pada Jumaat untuk membincangkan tentang insiden itu.
Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi insiden kebocoran dikesan pada saluran paip tersebut selepas beberapa kejadian letupan awal minggu lalu.
“Berlaku dua kebocoran di bahagian Stockholm dan dua lagi di bahagian Denmark,” ujar Pengawal Pantai Sweden selepas tiga kebocoran disahkan sebelum ini. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!