Tiada siapa berhak guna veto isu nasib rakyat Palestin: China
BEIJING - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi berita Jordan (Petra) memetik kenyataan wakil China pada Rabu.
Dalam ucapannya pada mesyuarat Majlis Keselamatan, wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Zhang Jun, menekankan pentingnya untuk menegakkan keadilan dan hak Palestin.
"Bukan tiada pelan untuk menyelesaikan isu Palestin, namun tiada hati nurani yang baik untuk menegakkan keadilan. Sama ada Majlis Keselamatan melaksanakan tanggungjawabnya bukanlah bergantung kepada slogan yang lantang, sebaliknya perlu mengambil tindakan konkrit," katanya.
Beliau berkata, Majlis Keselamatan wajar melaksanakan tugasnya secara objektif dan saksama mengikut konsensus antarabangsa dan menggalakkan semula rundingan Palestin-Israel tanpa berlengah, dan bukannya menunggu apa yang dianggap sebagai dialog matang.
Masyarakat antarabangsa mahukan penyelesaian awal, menyeluruh, adil dan berkekalan dalam isu Palestin, katanya sambil menambah bahawa Majlis Keselamatan terikat dengan tanggungjawabnya terhadap kedudukan Palestin, oleh itu ia mesti mengambil tindakan lebih aktif untuk menyokong Palestin dalam memulihkan serta melaksanakan hak mereka, selain merealisasikan keamanan berkekalan di Timur Tengah.
"Penyelesaian jangka panjang dalam isu Palestin-Israel mesti berdasarkan penyelesaian dua negara. Ini konsensus antarabangsa, dengan keadilan yang menjadi asas utama mesti dipatuhi dengan tegas," kata diplomat itu.
Beliau juga menegaskan bahawa China menyokong keadilan untuk rakyat Palestin mendapat semula hak kenegaraan mereka yang sah, dan menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan kedaulatan penuh berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!