Anggota ADB dialu manfaatkan sinergi pasaran modal Islam
MALAYSIA mengalu-alukan negara anggota Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk menyertai usaha negara dalam memanfaatkan sinergi pasaran modal Islam bagi mencapai ekonomi yang mampu mendepani cabaran iklim.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sebagai contohnya adalah terbitan sukuk kelestarian berdaulat pertama Malaysia dalam dolar AS oleh kerajaan Malaysia pada April 2021 bernilai AS$800 juta (AS$1=RM4.63), yang terlebih langgan sebanyak 6.4 kali di seluruh dunia.
"Malaysia menyedari akan kepentingan peralihan yang adil ke arah kemampanan,” katanya semasa Sesi Perniaagaan Lembaga Pentadbir Mesyuarat Tahunan ADB ke-55 hari ini.
Selain itu, katanya, Malaysia mengalu-alukan usaha pemudahan ADB ke arah ekonomi berdaya tahan iklim dengan pembiayaan iklim kumulatif berjumlah AS$100 bilion bagi tempoh 2019-2030 untuk negara membangun yang menjadi anggotanya.
Sementara itu Mohd Shahar berkata, pandemik Covid-19 telah membawa impak yang buruk kepada kehidupan manusia.
Beliau berkata, Malaysia percaya ADB boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan penjagaan kesihatan awam pasca pandemik bagi memastikan daya tahan penjagaan kesihatan dan fiskal yang juga merupakan faktor penting dalam penyokong pertumbuhan.
Dalam perspektif ini, beliau berkata, Malaysia menyeru kerjasama dan integrasi serantau yang lebih kukuh antara ADB dan negara anggota bagi mencapai pelaksanaan strategi pembangunan yang berjaya.
Menurutnya, kebimbangan lain global adalah peningkatan peratusan penduduk menua dan lonjakan jangka hayat yang memberikan lagi tekanan kepada penurunan pertumbuhan penduduk di beberapa negara anggota termasuk Malaysia.
"Fenomena ini ditambah dengan kadar kesuburan yang rendah akan menyebabkan pasaran buruh berdepan kekurangan bekalan yang diperlukan dan mungkin secara tidak langsung menjejaskan pertumbuhan ekonomi berdaya tahan iklim.
"Oleh itu, bantuan ADB amat diharapkan bagi pembangunan rangka kerja dasar inklusif dan berpandangan kehadapan,” kata Mohd Shahar.
Beliau berkata, Malaysia juga menekankan kepentingan agar negara anggota ADB mempromosikan kedua-dua biodiversiti dan ekonomi bagi pemulihan ekonomi yang mampan dan eksklusif. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!