Wanita Myanmar maut ditikam kekasih
GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga Myanmar ditemui mati dipercayai ditikam teman lelakinya dalam kejadian di Flat Taman Kilangin, Jalan Sungai Pinang di sini pada petang Khamis.
Dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa dikenali Khin Nyein, 30, ditemui berlumuran darah dengan kesan tikaman di bahagian perut, manakala teman lelakinya dikatakan bertindak terjun dari tingkat lapan flat terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, saksi kejadian yang juga rakan mangsa berkata, mereka baharu pulang dari tempat kerja dan ketika sampai di tingkat lapan suspek datang ke arah mangsa dan memeluk wanita itu dari belakang.
Menurutnya, saksi berkata lelaki itu bertindak menutup mulut mangsa dan terus tikam di bahagian perut beberapa kali dengan senjata pisau.
"Saksi dikatakan cuba menyelamatkan mangsa, namun ditolak oleh suspek dan lelaki itu kemudian bertindak terjun dan ditemui mati," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Saravanan berkata, siasatan lanjut mengenai kes itu masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!