Menteri kecam tindakan lelaki buang sampah dalam sungai
SHAH ALAM - 'Tindakan melampau', itu reaksi Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung video tular seorang lelaki membuang bungkusan sampah ke dalam sungai dipercayai di Sungai Wak Rabun, Pontian.
Menerusi catatan di Facebooknya pada malam Khamis, beliau memaklumkan sudah meminta Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar segera menyiasat kejadian berkenaan.
“Sejak pagi tadi, saya telah di'tagged' oleh beberapa rakan netizen mengenai tindakan melampau individu yang membuang sisa buangan ke dalam sungai atau saliran,” katanya.
Video berdurasi 40 saat yang dipercayai berlaku di Pontian, Johor mendapat kecaman kerana tindakan selamba lelaki berkenaan yang memberhentikan lorinya di atas jambatan sebelum membuang bungkusan sampah ke dalam sungai.
Video yang dimuat naik di laman sosial itu turut dikongsi di beberapa portal dan menarik perhatian ramai termasuk Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!