UMP, universiti di Bosnia jalin kerjasama
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Malaysia Bosnia Trade Cooperation Association (MBTCA) dalam pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan bidang kejuruteraan dan teknologi dengan universiti di Bosnia.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, kerjasama itu melibatkan program pesisir antaranya pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Mekatronik, Kejuruteraan Awam, Pembuatan, Komputer, Elektrik, Kimia dan Sains.
Menurutnya, peluang kerjasama itu melibatkan pembangunan penyelidikan dan perkongsian kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta lain-lain sumber untuk manfaat bersama.
“Kerjasama ini juga bakal memanfaatkan hubungan baik dengan institusi pendidikan di negara tersebut terutamanya dalam penawaran program pengajian berteraskan kejuruteraan dan teknologi.
“Ia termasuklah penganjuran bersama persidangan, pembangunan sumber manusia dan modal insan serta pertukaran pelajar,” katanya.
Profesor Ir Dr Wan Azhar sebelum ini mewakili UMP menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ahli Lembaga Pengarah MBTCA, Najib Abbas di Kompleks Islam Putrajaya, 5 April lalu.
Majlis disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Pengerusi MBTCA, Datuk Subhi Dziyauddin.
Turut hadir dalam program Pengarah Pusat Kecemerlangan Automotif (AEC), Prof Madya Dr Abdul Adam Abdullah.
MBTCA merupakan sebuah organisasi dinaungi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dr Mujahid selaku penasihat.
Penubuhan MBTCA sebagai platform dalam mewujudkan perancangan strategik dan penggubalan dasar-dasar serta rangka kerja yang kondusif bagi pembangunan perdagangan di kedua-dua buah negara.
Bidang yang menjadi tumpuan badan ini melibatkan enam kluster iaitu hubungan antara negara, pendidikan, perniagaan, pelancongan, industri halal dan penubuhan Institusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!