1,601 tindakan punitif kepada majikan: JKKP

Mohd Zahari (tengah) ketika hadir pada Majlis Pelancaran KKP Dan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama (Nou) Kolej Vokasional (KV) Kemaman – JKKP Terengganu – Venator Asia Sdn Bhd pada Khamis.
Mohd Zahari (tengah) ketika hadir pada Majlis Pelancaran KKP Dan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama (Nou) Kolej Vokasional (KV) Kemaman – JKKP Terengganu – Venator Asia Sdn Bhd pada Khamis.
A
A
A

KEMAMAN – Sebanyak 1,601 tindakan punitif dikenakan terhadap majikan di Terengganu dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini kerana pelanggaran perundangan berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Mohd Zahari Hitam berkata, antara tindakan punitif itu adalah 1,159 surat arahan, 404 notis, 29 kertas siasatan kompaun dan sembilan kertas pendakwaan.

Menurutnya, sebanyak sembilan kes kematian akibat kemalangan di tempat kerja turut direkodkan di negeri ini dalam tempoh sama.

“Selain itu, JKKP Terengganu juga ada menerima tiga kes hilang upaya kekal, 106 kes tanpa hilang upaya kekal, 11 kes kejadian berbahaya dan 18 aduan sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

“Kita memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang kepada majikan bagi mencegah kemalangan di tempat kerja.

“Oleh itu, kita harap semua pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja dapat mengembeling tenaga supaya jumlah kemalangan yang dinyatakan ini dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan (zero accident) pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran KKP Dan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama (Nou) Kolej Vokasional (KV) Kemaman – JKKP Terengganu – Venator Asia Sdn. Bhd di sini pada Khamis.

Dalam NoU melibatkan tiga pihak ini, KV Kemaman diwakili Pengarahnya, Wan Zakaria Wan Ismail manakala Site Director Venator Asia Sdn Bhd, Datuk Rozano Saad mewakili Venator Asia Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Mohd Zahari berkata, ia merupakan kesinambungan dari program mentor-mentee di antara KV Dungun dengan INEOS PCG Acetyle (IPASB) yang telah diadakan pada tahun 2020.

Jelas beliau, program itu dapat memberi banyak manfaat antaranya menerapkan amalan KKP terbaik untuk memupuk dan meningkatkan tahap kesedaran KKP di kalangan pelajar serta warga kerja KV melalui program dan latihan dirancang.

“Ini dapat memberi kesedaran dan pengetahuan lebih awal kepada pelajar sebelum mereka berhijrah ke alam pekerjaan di mana pematuhan kepada KKP amatlah penting bagi menjamin keselamatan semasa bekerja di tempat kerja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!