Waris Kesultanan Sulu terus bertindak, aset Petronas terancam

Petronas berjaya mencatat penemuan gas di Blok SK 320 di Wilayah Luconia Tengah. - Foto 123RF
Petronas berjaya mencatat penemuan gas di Blok SK 320 di Wilayah Luconia Tengah. - Foto 123RF
A
A
A
SHAH ALAM- Aset milik syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) masih lagi dalam keadaan terancam apabila peguam yang bertindak bagi pihak waris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II dilaporkan dalam proses mengemukakan permohonan kepada mahkamah Belanda untuk sitaan.

Memetik laporan The Edge, peguam bersama utama untuk waris sultan dari firma guaman British 4-5 Gray's Inn Square, dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengemukakan petisyen eksekuatur kepada Mahkamah Rayuan The Hague dan meminta keputusan Timbang Tara bertarikh 28 Februari 2022 diiktiraf di Belanda.

Pihaknya juga akan membuat makluman rasmi kepada kerajaan Malaysia dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, The Edge melaporkan, Petronas dan kerajaan Malaysia sudah sedia maklum mengenai rancangan rampasan aset tersebut.

Difahamkan, aset yang terlibat mungkin bernilai berbilion ringgit.

Waris Kesultanan Sulu sebelum ini menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Ia juga adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada tahun 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Petronas kemudiannya mengesahkan rampasan tersebut, namun menegaskan telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Petronas juga menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal tersebut.

Waris Kesultanan menerima bayaran RM5,300 setahun berdasarkan kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Ahlam Kiram dengan dua pedagang Eropah, Alfred Dent dan Baron von Overbeck pada 22 Januari 1878.

Perjanjian itu adalah bagi pajakan ke atas wilayah Borneo Utara yang hari ini merupakan sebahagian daripada Sabah meliputi kawasan dari Sungai Pandasan di utara sampai ke Sungai Sibuku di selatan.

Malaysia meneruskan bayaran berkenaan apabila Sabah membentuk Malaysia pada 1963 bersama Singapura, Sarawak dan Tanah Melayu.

Bagaimanapun, Putrajaya menghentikan bayaran berkenaan selepas pengikut 200 anggota militan yang merupakan Jamalul Kiram III menceroboh Sabah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!