FIKS fasa kedua dibina tahun depan
PUTRAJAYA- Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) fasa dua dijangka akan dibina pada tahun hadapan bagi melaksanakan aspek pemulihan terhadap sisa buangan domestik sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan berkata, projek yang menelan belanja RM50 juta dan dibina di atas tanah seluas lima ekar itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 dilengkapi dengan teknologi pembakaran.
"Sisa buangan domestik akan diproses menjadi baja dan pepejal (solid refused) manakala bahan yang tidak boleh diproses akan dibakar menggunakan teknologi tersebut," katanya.
Menurutnya, sisa buangan daripada Putrajaya yang tidak boleh lagi dihantar keluar mulai tahun 2025 merupakan salah satu faktor pembinaan FIKS fasa dua.
"Projek FIKS fasa dua sekarang ini dalam proses laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA)," katanya menerusi sidang akhbar sempena Waste is Amazing: Upcycling Competition 2022 di sini pada Jumaat.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Fadlun berkata, penyertaan kitar semula warga dan industri di Putrajaya adalah sekitar 16 peratus dengan sasaran 40 peratus yang perlu dicapai pada tahun 2025.
"Putrajaya menghasilkan sekitar 80 hingga 92 tan sampah setiap hari dan 16 peratus daripadanya adalah kertas manakala baki merupakan sisa domestik," katanya.
Menurut Fadlun, pembinaan FIKS fasa dua adalah selari dengan dasar Putrajaya Bebas Karbon.
"Sebab itu fasa kedua penting. Apa yang datang dari Putrajaya kekal di Putrajaya agar tidak menimbulkan pencemaran karbon," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat enam pusat belian barangan kitar semula di Putrajaya iaitu Presint 16, 9, 18, 8, 14 dan 11 untuk memudahkan penduduk melaksanakan program kitar semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!