Kongsi gelap kuasai pasar borong akan terus dibongkar
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan akan terus giat membongkar kumpulan kongsi gelap yang dipercayai menjadi pelindung kepada kebanjiran pendatang asing di kebanyakan pasar borong, terutama di Lembah Klang.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan akan mendedahkan dan mengambil tindakan terhadap aktiviti kongsi gelap yang menjadi punca masalah kebanjiran warga asing di pasar-pasar borong.
“Kongsi gelap kita akan dedahkan dan ambil tindakan. Tapi perkara ini kita kena fahamlah bahawa kita nak menangani masalah-masalah yang sudah lama bertapak, ia bukannya satu perkara yang boleh dilakukan secara serta merta,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Shah Alam itu menegaskan, masalah kebanjiran warga asing di pasar-pasar borong bukanlah perkara mudah yang boleh ditangani segera, ia sebaliknya memerlukan masa dan langkah bersepadu,
“Kita mengharapkan peniaga-peniaga tapak tidak menjual atau menyewakan lesen mereka. Langkah ini akan mengurangkan masalah bagi kita. Tapi sekiranya mereka meneruskan amalan yang sedemikian maka apabila operasi ini dijalankan, mereka sendiri yang akan kehilangan lesen.
“Kenyataan yang dikeluarkan minggu lalu berhubung satu usaha bersepadu antara Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Kementerian Luar Negeri, kita akan susun dan aturkan dengan cara yang sebaik mungkin,” katanya.
Bagaimanapun Khalid berkata, beliau tidak dapat menjangkakan tarikh operasi gempur pasar borong yang bakal dilakukan pada masa akan datang.
“Itu (operasi) kita kena bincang dulu, saya tidak boleh tetapkan,” jelas beliau.
Hari ini, Berita Harian melaporkan, kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi pelindung kepada pendatang asing di kebanyakan pasar borong, terutama di Lembah Klang bagi memastikan perniagaan mereka ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa.
Mereka dikatakan menguasai tapak niaga tidak berlesen di luar pasar borong utama serta mendakwa mereka mewakili persatuan peniaga dan penjaja tertentu.
Di Pasar Borong Lama Selayang di sini, sekurang-kurangnya 80 peniaga warga asing dipercayai bernaung dengan kumpulan kongsi gelap ini sehingga mereka berupaya memonopoli tapak perniagaan haram di luar bangunan utama pasar.
Siasatan mendapati beberapa peniaga asing di pasar borong Selayang lama mendapati mereka dikenakan ‘wang perlindungan’ atas nama sewa harian serendah RM50 bagi satu tapak.
Malah, wang perlindungan yang dikutip setiap hari ada yang mencecah RM200 sehari bergantung kedudukan tapak yang biasanya lebih tinggi jika terletak di laluan utama ke pintu masuk pasar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!