Beasley jadi mangsa 'buli' Azizulhasni
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi kisah di laman sosial 'membuli' jurulatihnya, John Beasley semasa beriadah mengayuh basikal baru-baru.
Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman dalam catatan di Facebooknya bercerita mengenai aktiviti itu yang terjadi sejurus dia kembali ke Malaysia Melbourne dan selepas sudah lama tidak berjumpa Beasley.
Pelumba yang berasal dari Terengganu itu sebelum ini menceritakan pernah terserempak dengan Mat Salleh, tetapi sebenarnya lelaki itu adalah Beasley.
“Maaf, bukan nak troll korang, tetapi saja nak bagi plot twist. Disebabkan lama tak jumpa kerana John sudah berkampung di Malaysia dari awal tahun lagi, jadi bila sampai di Malaysia je, saya terus pergi berjumpa dengan beliau.
“Seperti biasa, kami berdua jenis tak suka membuang masa begitu sahaja, jadi kami buat pengisian perjumpaan itu dengan kayuhan selama dua jam sambil-sambil berborak.
“Disebabkan lama tak jumpa tu, punyalah excited si John ni dapat berjumpa dengan saya, dia bercakap tak berhenti. Bercakap je sepanjang kayuhan tu, macam-macam cerita dia kongsikan.
“Kadang-kadang tu saya saja naikkan pace kayuhan, tapi dia naikkan gear untuk catch up dengan pace saya pulak. Macam mana ni?,” katanya.
Ketika melalui kawasan berbukit Azizulhasni mula membuli Beasley sehingga jurulatihnya itu kepenatan dan dia mula mengeluarkan senjata rahsia.
“Bukan kejam saudara saudari sekalian, tapi masa inilah nak ajar dia sikit, kalau kat dalam velodrom tu, saya pishang terbongkang termuntah macam mana sekalipun, dia mesti buat muka seposen dan cakap we're still doing five set.
“Maksudnya tak ada potongan dengan set yang kita orang sepatutnya buat walaupun melihat saya di dalam keadaan terseksa sebegitu. Susah nak bagi diskaun.
“Tapi sebenarnya melihat kepada sudut yang positif memang baguslah mentaliti muka seposen dia tu dan disebabkan itulah saya berada di mana saya berada pada hari ini. Tapi misi balas dendam tetap balas dendamlah,” ujarnya.
Azizulhasni turut mengimbas pada sesi awal sebelum memulakan kayuhan mengenai tahap keyakinan tinggi Beasley mampu mengalahkannya.
Saya tak cerita lagi dekat korang pada awalnya sebelum kami nak mulakan kayuhan tu, John dengan konfiden level dewanya beritahu yang dia akan tinggalkan saya.
“Maklumlah saya baru pulih dari pembedahan jantung dan baru mula berkayuh, masih belum fit.
“Jadi selepas berkayuh selama dua jam dan diisi dengan perbualan dan adegan cubaan membelasah sesama sendiri, John pun akur,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!