Sampel DNA keluarga seorang lagi pekerja kuari diambil

Laporan Sinar Harian 20 September lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri
Laporan Sinar Harian 20 September lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Pengesahan identiti seorang lagi pekerja kuari yang maut tertimbus runtuhan batu kuari di di Simpang Pulai, Mac lalu, dibuat menerusi sampel asid deoksiribonukleik (DNA) adik beradiknya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sampel waris mangsa, Kheow Loo Siew Soon diperoleh di sebuah hospital di Switzerland.

"Adik beradik mangsa kini berada di luar negara dan mereka telah memberikan sampel DNA untuk dipadankan.

"Pihak Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sedang mengurus perkara ini dengan hospital terbabit bagi memproses sampel DNA tersebut, " katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, keputusan DNA seorang lagi mangsa runtuhan batu membabitkan lelaki Orang Asli, Itam Lasoh, 43, masih belum diketahui.

"Bagi pihak polis, siasatan kes ini telah pun selesai dan kita sedang menunggu laporan ujian DNA kedua-dua mangsa daripada pihak hospital.

"Keputusan ujian DNA ini mungkin mengambil masa kerana perlu melalui beberapa prosedur," katanya.

Insiden runtuhan pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke HRPB untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Pada 20 September lalu, pasukan mencari dan menyelamat menemui cebisan tulang dan rangka manusia bersama serpihan baju dan jengkaut di lokasi berkenaan, milik seorang daripada mangsa runtuhan.

SAR kemudiannya ditamatkan pada Khamis selepas cebisan pakaian dan tulang manusia dipercayai milik kedua-dua mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan penyelamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!