MAPEX Pahang tawar 4,119 unit hartanah
KUANTAN - Pameran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Pahang 2019 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 April ini menawarkan 4,119 unit pelbagai jenis hartanah bernilai RM1.28 bilion.
Pameran yang berlangsung di pusat beli-belah Kuantan Parade itu membabitkan penyertaan lebih 22 pemaju perumahan, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan serta mendapat kerjasama Maybank.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Cawangan Pahang, Wong Kok Loon berkata MAPEX berperanan sebagai pusat hentian untuk pembelian hartanah.
Menurutnya, ekspo itu menawarkan portfolio hartanah sederhana hingga mewah bermula antara RM 300,000 hingga RM 1 juta seunit.
"Penganjuran program bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam ini antara lain bertujuan memudahkan orang ramai merujuk dan membuat pilihan berkaitan unit hartanah yang ditawarkan di 3,939 unit di Pahang, 168 di Terengganu dan 12 di Kuala Lumpur.
"Ekspo kali ini menawarkan sebanyak 114 projek pembangunan di 10 daerah di negeri ini iaitu Kuantan, Pekan, Muadzam Shah, Chendor, Jengka, Mentakab, Raub, Lanchang, Jerantut, dan Temerloh termasuk Kemaman di Terengganu.
"Ekspo kali ini berbeza kerana kita ada Maybank untuk setiap MAPEX di seluruh negeri di mana mereka yang datang boleh melihat loan mereka lepas atau tidak untuk membeli rumah yang memudahkan mereka untuk melakukan pengurusan pembelian,"katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Turut hadir sama, Pengerusi Penganjur MAPEX 2019, Zulkifli Sitor dan Bekas Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Cawangan Pahang, Chua Say Chai.
Kok Loon berkata, MAPEX adalah satu platform ideal untuk orang ramai bertemu pemaju, pembiaya kewangan dan pakar hartanah dengan pelbagai hartanah kediaman dan komersil di bawah satu bumbung.
Menurutnya, lebih 22 gerai jualan dan pameran akan ditempatkan di ruang legar pusat beli-belah itu bagi membolehkan orang ramai membuat pilihan.
"Kami yakin orang ramai akan bertumpu ke pameran ini kerana pelbagai unit rumah dan lot komersial ditawarkan berdasarkan kemampuan pembeli.
"Justeru itu, MAPEX dapat membantu pembeli rumah membuat satu daripada keputusan paling penting dalam hidup mereka, iaitu pelaburan hartanah," katanya.
Tambahnya, unit hartanah yang ditawarkan meliputi rumah kediaman pelbagai jenis termasuk teres, teres dua tingkat, kembar, kembar dua tingkat, banglo dan komersial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!