Mahkamah batal permohonan kebenaran teruskan saman terhadap Khaidir
TEMERLOH - Mahkamah Tinggi Temerloh di sini pada Jumaat membatalkan permohonan kerajaan negeri Pahang untuk meneruskan tindakan guaman terhadap seorang aktivis alam sekitar, Mohd Khaidir Ahmad yang merupakan seorang muflis.
Keputusan itu diumumkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Noor selepas peguam yang mewakili kerajaan negeri (plaintif) terkhilaf arahan pengurusan kes dan gagal hadir ke mahkamah.
Defendan iaitu Khaidir, 59, yang diwakili peguam, Akif Rusli dari firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique turut hadir bagi sebutan kes secara fizikal buat kali pertama di mahkamah tersebut.
Hadir sama, ahli keluarga dan penyokong Khaidir yang juga bekas Ketua Pengarang Berita TV3.
Sebelum itu, Akif memohon mendapatkan kebenaran membatalkan dan membuang kes tersebut kerana plaintif tidak serius dengan tuntutan saman terbabit.
Roslan bagaimanapun menetapkan 22 November depan untuk pengurusan kes secara dalam talian menerusi aplikasi EFS Kehakiman di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nurliyana Md Zukri.
"Saman tersebut masih sehingga kini tidak mendapat apa-apa sanksi atau kebenaran yang hendaklah didapatkan terlebih awal," kata Akif.
Kerajaan negeri Pahang memfailkan saman fitnah dengan tuntutan sebanyak RM1 juta terhadap Khaidir yang juga dikenali sebagai Wartawan Tua, menerusi Tetuan Hidayah & Co di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 7 April 2022.
Ia susulan dua laporan bergambar bukti di akaun Facebook Khaidir Ahmad mengenai kejadian bencana banjir lumpur bersama sisa balak, yang memusnahkan rumah rakyat di Kampung Sungai Dingin, Mentakab, Pahang pada 28 Disember 2021 dan kegiatan pembalakan yang mencurigakan di tanah kerajaan negeri di Mukim Benus, Bentong, Pahang, berhampiran Lebuhraya Central Spine Road (CSR) pada 30 Januari 2022.
Selain Khaidir, tiga lagi aktivis yang lantang menyuarakan isu alam sekitar di Pahang turut disaman dengan tuntutan RM1 juta oleh kerajaan negeri Pahang.
Mereka adalah bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil; Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan blogger, Mohd Shukri Mohd Ramli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!