Edar dadah: Penjual sarang burung terlepas hukuman gantung
PUTRAJAYA - Seorang bekas penjual sarang burung terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas dua tuduhan mengedar dadah.
Panel tiga hakim yang dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Datuk Seri Kamaludin Md Said dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin serta Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan rayuan Tan Chen Xing selepas mendapati terdapat merit dalam rayuannya.
Dalam keputusan mahkamah itu, Hakim Kamaludin yang mengetuai panel berkata, sabitan Chen Xing untuk mengedar dadah tidak selamat untuk dikekalkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi mendapati tiada penemuan komprehensif ke atas bukti.
Mahkamah juga mengetepikan sabitan Chen Xing dan hukuman penjara ke atas dua tuduhan memiliki 0.06 gram nimetazepam dan 299.2 gram racun phenazepam tanpa lesen yang sah.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, Chen Xing didakwa mengedar 361.8 gram ketamin dan 156.52 gram methamphetamine.
Chen Xing didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium di Lebuh Minden 1, Gelugor, Pulau Pinang pada 4 petang 10 Nov, 2016.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Chen Xing bersalah atas pertuduhan tersebut dan beliau dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah.
Bagi kesalahan memiliki nimetazepam pula, Chen Xing dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu tahun kerana memiliki phenazepam.
Peguam, Hussaini Abdul Rashid yang mewakili Chen Xing dalam hujahnya berkata, Hakim Mahkamah Tinggi gagal untuk mempertimbangkan bahawa terdapat lima individu yang mendiami kondominium itu dan bukan anak guamnya sahaja yang mempunyai akses kepada premis tersebut.
Beliau berkata, Chen Xing tinggal di bilik ketiga rumah itu dan bukan di bilik pertama di mana dadah dadah itu ditemukan.
Hussaini berkata, anak guamnya dikehendaki ke penjara semula untuk menjalani 10 sebatan sebelum dia dibebaskan.
Beliau berkata, Chen Xing dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas dia mengaku bersalah memiliki dadah di dalam poketnya.
Hussaini berkata, Chen Xing telah lengkap menjalani hukuman penjaranya tetapi belum menjalani hukuman sebatan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!