Nelayan dakwa terjejas akibat projek korek pasir

Kerja-kerja mengorek pasir yang didakwa menjejaskan ekosistem sungai.
Kerja-kerja mengorek pasir yang didakwa menjejaskan ekosistem sungai.
A
A
A

ALOR GAJAH - Aktiviti mengorek pasir di Sungai Linggi, tidak jauh dari jeti nelayan Paya Lebar, Masjid Tanah sejak Februari lalu semakin merisaukan penduduk kerana didakwa menjejaskan nelayan dan ekosistem sungai.

Bagi golongan nelayan, aktiviti tersebut menyebabkan hasil tangkapan mereka berkurangan sekali gus punca pendapatan turut terkesan disebabkan pembangunan di sekitar kawasan terbabit.

Norhizam Abu Bakar, 50, berkata, sejak projek menjalankan kerja-kerja mendalamkan sungai dilakukan di sekitar sungai tersebut, pendapatannya sebagai nelayan terjejas teruk.

Menurutnya, kegiatan mengorek pasir dari dasar sungai dan didakwa akan dikomersialkan bagi tujuan jualan dan pembinaan dipercayai menggunakan cara tidak sistematik sehingga menjejaskan keselamatan nelayan.

Malah katanya, dua jentera yang diletakkan di sekitar sungai dan ada antaranya diletakkan di tengah sungai berkenaan telah mengakibatkan laluan keluar masuk bot nelayan agak terhad dan menjadikan laluan begitu sempit.

"Bukan saja hasil terjejas, tapi tiada lampu keselamatan di tengah sungai berdekatan tong memproses pasir merisaukan nelayan yang turun ke laut pada waktu malam.

"Lagipun kawasan projek itu merupakan kawasan teluk dan bertebing tinggi dan sudah pasti is akan menggugat ekosistem kawasan ini seperti berlakunya tanah runtuh di tebing berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aktivtii mengorek pasir yang dilakukan di Sungai Linggi merisaukan golongan nelayan.
Aktivtii mengorek pasir yang dilakukan di Sungai Linggi merisaukan golongan nelayan.

Tambahnya, dia turut menerima aduan nelayan di kawasan itu yang mendapati hasil tangkapan mereka yang cepat mati didakwa keracunan selain tangkapan menggunakan teknik bubu turut mengalami nasib yang sama.

"Hasil tangkapan udang galah juga jatuh mendadak sejak projek itu beroperasi. Kami jadi 'mati kutu' sebab tak tau nak cari lokasi baru," katanya.

Pemancing, Sahlan Sidik, 49, berkata, dia juga terkejut apabila tangkapan udang galahnya di kawasan sungai itu semakin susut.

Menurutnya, dia yang telah dua bulan tidak melakukan aktiviti kegemarannya itu, pada awalnya berasa hairan dengan keadaan tersebut sebelum ternampak sebuah projek pengorekan pasir dijalankan.

"Ini antara lokasi yang saya selalu memancing dengan seorang lagi kawan sebagai mata pencarian.Tapi kali ini saya kecewa sangat sebab hasil yang diperolehi tak berbaloi," katanya.

Tinjauan mendapati Sungai Linggi yang memisahkan antara Melaka dan Negeri Sembilan bukan sahaja tercemar dek sampah sarap yang hanyut, malah keadaan air sungai dilihat semakin membimbangkan akibat kegiatan korek pasir.

Difahamkan juga syarikat tersebut dipercayai berjanji untuk memberikan pampasan kepada nelayan yang terlibat namun sehingga sekarang masih belum berbuat demikian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!