Makanan laut bercengkerang di Selat Melaka dicemari logam berat

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penggemar makanan laut bercengkerang terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan jenis itu berikutan risiko dijangkiti penyakit akibat keracunan logam berat.

Pensyarah Kanan Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Ong Meng Chuan berkata menerusi kajian yang dijalankan pasukannya, pencemaran logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri banyak dikesan di kawasan muara sungai dan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.

Katanya antara kawasan yang dikesan berisiko menghadapi pencemaran logam berat itu sekitar pelabuhan di perairan Johor, Pelabuhan Klang dan muara sungai di Pulau Pinang.

“Fenomena itu secara tidak langsung turut mencemari sumber makanan laut kerana sifat haiwan bercengkerang ini ia mendiami habitatnya dan tidak bergerak ke tempat lain...secara tidak langsung, ia memperoleh sumber makanan daripada tempat ia tinggal.

“Jadi sudah tentu jika perairan itu dicemari logam-logam berat berkenaan, sudah pasti ia turut mencemari haiwan bercengkerang itu yang seterusnya dimakan oleh manusia,” katanya.

Kajian tersebut dijalankan pasukan Ong baru-baru ini dalam pelayaran saintifik menggunakan kapal penyelidikan UMT, RV Discovery sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) dari 13 hingga 22 Mac lalu dari Kuala Terengganu hingga ke Tanjung Lembong, Pulau Langkawi, Kedah.

Ekspedisi yang disertai 25 saintis dan penyelidik itu, telah melalui lebih 45 stesen persampelan di dua laluan maritim iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Ong berkata tidak ramai yang menyedari kesan pencemaran logam berat daripada sumber makanan laut boleh menyebabkan pelbagai penyakit kepada manusia kerana ia melibatkan kesan jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

“Kesan pencemaran logam berat terhadap manusia mengambil masa yang lama untuk dikesan sebab ia melalui proses biookomulasi dimana kita makan sedikit daripada makanan itu yang dicemari arsenik atau merkuri (logam ini tidak diperlukan oleh badan) setiap hari dan akhirnya akan menyebabkan kita mendapat pelbagai penyakit,” katanya.

Mengulas mengapa kawasan perairan Selat Melaka lebih tercemar berbanding Laut China Selatan, Ong berkata keadaan laut Selat Melaka yang cetek dan peningkatan sektor perindustrian di kawasan pelabuhan dan muara sungai menjadikan ia penyumbang utama pencemaran tersebut.

Katanya di kawasan muara sungai, arus sungai adalah lebih lemah dan menyebabkan logam-logam berat ini mudah terdampar dan menjadi mendapan di sungai dalam jangka masa yang lama.

“Keadaan perairan yang sempit dan cetek, juga telah menjadikan kadar pemendapan bahan logam berat itu tinggi berbanding di Laut China Selatan yang mempunyai kadar isi padu air laut yang lebih banyak dan ini akan mencairkan bahan logam tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ong berkata kerajaan dan pihak yang berkaitan perlu bertindak tegas dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang mengambil remeh isu pencemaran logam berat di kawasan perairan negara ini.

“Mungkin denda yang lebih tinggi atau hukuman yang lebih tegas boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan pencemaran ini.

“Kita juga tidak mahu kes pencemaran bahan kimia yang berlaku di Sungai Kim-Kim hingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup 7 Mac lalu berulang kembali,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!