Terima 1,090 aduan penyebaran kandungan lucah sejak 2020
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan telah menerima sebanyak 1,090 aduan berkaitan penyebaran kandungan lucah termasuk di platform Twitter sejak tahun 2020 sehingga Ogos 2022.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, SKMM telah melaporkan 209 akaun yang memuat naik kandungan berunsur lucah dan kesemuanya telah pun diturunkan.
Ujarnya lagi, 292 laman sesawang didapati menjalankan aktiviti pelacuran turut disekat.
"Peranan kerajaan telah sekat laman-laman lucah ini tetapi masih lagi mereka membuka akaun balik. Kita tutup laman tersebut tetapi mereka buka akaun yang lain.
"Inilah cabaran kita dan sebab itu kita lihat dari sudut undang-undang melalui tindakan SKMM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Jelas menunjukkan bagi sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang iaitu aktiviti mencari langganan bagi maksud persundalan. Ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program yang membincangkan topik bertajuk Jual Maruah Kini Trending Di Alam 'Darkside' itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Naufal Nazri sebagai speaker 'Darkside'.
Dalam pada itu, Siti Zailah berkata, orang ramai disarankan untuk melaporkan aktiviti-aktiviti tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
"Jadi sebab itu saya berharap masyarakat apabila mendapati laman-laman sebegini atau mendapat maklumat tentang hal ini terus membuat laporan kepada PDRM.
"Ini kerana kerajaan akan bertindak berdasarkan laporan dibuat dan kita akan majukan kepada SKMM untuk diambil tindakan," jelasnya.
Dalam pada itu, Siti Zailah berkata, pihak kementerian mengambil serius mengenai isu ini dan pelbagai program telah diadakan termasuk inisiatif yang dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seperti Program Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA).
"Selain itu melaksanakan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI), menubuhkan Task Force Jenayah Seksual bagi menangani isu seperti ini serta melakukan kerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
"Sebab kita melihat isu ini adalah isu sangat besar untuk masa depan negara di mana anak muda hari ini merupakan harapan masa depan negara.
"Bagaimana mereka bakal menjadi pemimpin masa depan sekiranya mereka mempunyai nilai peribadi yang runtuh dan tiada nilai jati diri," ujarnya.
Jelas beliau, peranan masyarakat membentuk persekitaran yang baik selain peranan keluarga sangat penting untuk membentuk anak-anak dengan kualiti menerusi didikan agama.
"Nasihat saya kepada anak-anak muda dekatkan diri dengan ALLAH SWT maka jiwa akan tenang. Ketenangan tidak akan dapat dengan hanya benda dan wang yang banyak.
"Kedua adalah jangan buat perkara yang sia-sia yang merugikan masa depan selain melakukan perkara yang memberi khidmat bakti kepada masyarakat.
"Walaupun dosa kita memenuhi langit dan bumi, sekiranya kita bertaubat Allah SWT akan ampun dosa kita," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!