Penyertaan Muda, PSM dalam PH dimuktamadkan 5 Oktober

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan mengenai penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke dalam gabungan Pakatan Harapan diputuskan pada 5 Oktober.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.

"Ia sama ada diputuskan secara terus oleh Majlis Presiden PH atau jika terdapat beberapa persoalan penting, ia akan dibincangkan lagi dengan jawatankuasa yang terlibat dengan rundingan sebelum ini, jadi kita perlu tunggu," katanya ketika ditemui media dalam satu majlis Kempen Kutipan Derma bagi Parlimen Lembah Pantai di Hotel VE di sini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Perak, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan satu mesyuarat antara jawatankuasa gabungan tersebut bersama Muda telah berlangsung pada sebelah pagi.

Ia bagi memberi tumpuan hasrat parti itu menyertai gabungan berkenaan.

Perkara itu disahkan Timbalan Presidennya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz.

Mesyuarat berkenaan dihadiri wakil gabungan dalam PH termasuk Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong; Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda Nasional Amanah, Hasbie Muda dan Naib Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pimpinan Muda diwakili Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Timbalan Presiden, Amira Aisya Abd Aziz; Naib Presiden, Zaidel Baharuddin dan Ketua Penerangan, Luqman Long.

Pada masa sama, Fahmi ketika ditanya tentang sesetengah pihak yang menginginkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat terutama menjelang musim banjir pada akhir tahun menasihatkan supaya berhati-hati dengan tindakan tersebut.

"Yang nak ratib supaya pilihan raya diadakan segera, hati-hati, jangan sampai ia menjadi 'badi'," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!