‘Anak saya mangsa penjenayah pedofilia’
SHAH ALAM - Penjenayah pedofilia terbukti ada di mana-mana dari kawasan kejiranan rumah sehinggalah ke sekolah.
Dalam satu kes tragis, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menjadi mangsa cabul guru tuisyennya sendiri tahun lalu. Kisah tersebut dikongsi ibu mangsa Sofea (nama samaran) kepada wartawan Sinar Siasat baru-baru ini.
Cerita Sofea, walaupun kejadian itu sudah setahun berlalu, anaknya masih lagi trauma dan ada masanya menangis jika teringat semula peristiwa itu.
"Tahun pertama isteri suspek mengajar anak saya. Namun, awal tahun lalu dia (suspek) pula mengajar anak saya. Lelaki berusia lingkungan 30-an itu menyentuh bahagian paha anak saya dan tempat tidak sepatutnya sehingga menyebabkan anak saya berasa takut serta tidak selesa," katanya.
Sofea berkata, selepas mengetahui kejadian kali pertama berkenaan, dia telah membuat laporan polis keesokan harinya di Balai Polis Skudai, Johor.
Menurutnya, sehingga kini dia masih lagi menunggu perjalanan kes berkenaan.
Katanya, selepas kes anaknya menjadi viral, ramai individu menghubunginya di laman sosial dan menceritakan anak mereka juga menjadi mangsa pedofilia jiran, guru dan kenalan.
Sementara itu, seorang wanita, Ziana (nama samaran) turut mendedahkan anak lelakinya diliwat oleh pemilik sebuah pusat tahfiz di Selangor, kira-kira dua tahun lalu.
Kata Ziana, dia menghantar anaknya belajar di tahfiz itu pada hujung tahun 2017.
"Dua bulan pertama anak saya di sana, dia sangat gembira dan selalu bercerita tentang pelajarannya.
"Bagaimanapun, sikapnya berubah selepas itu, lebih banyak mendiamkan diri sewaktu pulang cuti sekolah.
"Saya tanya apa sebenarnya yang berlaku. Baru dia terus terang menceritakan kejadian dia diliwat oleh pemilik pusat tahfiz itu beberapa kali.
"Beberapa pelajar lain pernah mengalami nasib sepertinya," kata Ziana yang membuat laporan polis terhadap pemilik pusat tahfiz tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!