Malaysia siap sedia gempur Thailand

Aksi antara Malaysia dan Indonesia dalam saingan pembukaan Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 di Pantai Pattaya, Chonburi pada Khamis. - Foto FB FAM
Aksi antara Malaysia dan Indonesia dalam saingan pembukaan Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 di Pantai Pattaya, Chonburi pada Khamis. - Foto FB FAM
A
A
A

“KAMI sudah bersedia berdepan Gajah Perang termasuk penyokong mereka.”

Itu laungan semangat pengendali Malaysia, Wan Adremy Indera Wan Adnan menjelang aksi terakhir liga sepusingan Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 berdepan Thailand di Pantai Pattaya, Chonburi pada Sabtu.

Beliau memberitahu, barisan pemainnya semakin bersemangat untuk berdepan Thailand selepas berjaya melakar kemenangan besar 9-2 ke atas Indonesia dalam aksi pembukaan pada Khamis.

“Alhamdulillah, para pemain negara begitu teruja untuk membuktikan sesuatu apabila berdepan pasukan pilihan, Thailand esok (Sabtu) selepas kemenangan meyakinkan ke atas pasukan Indonesia.

“Ya, apa yang saya lihat moral Thailand juga cukup memuncak, apatah lagi mereka beraksi di hadapan penyokong sendiri. Itu sudah tentu memberi kelebihan kepada Thailand.

“Namun, barisan pemain negara sudah bersedia, sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Doakan kejayaan pasukan Malaysia dalam pertemuan menentang Thailand nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Mengenai rehat awal dimiliki Thailand berbanding Malaysia, Wan Adremy Indera mengakui, itu antara kelebihan tuan rumah, namun menegaskan anak-anak buahnya akan memanfaatkan 'speedy recovery' secukupnya menjelang aksi tersebut.

“Insya-ALLAH, dengan doa dan sokongan seluruh penyokong bola sepak pantai serta rakyat Malaysia, para pemain memberi jaminan akan memberikan persembahan terbaik bagi menentukan juara kali ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!