Bersedia belajar bukan kursus pilihan
SHAH ALAM - Pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di universiti awam perlu bersedia untuk masuk ke program the next match yang mungkin bukan pilihan mereka kerana persaingan sengit dan tempat terhad.
Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, ia juga bukanlah pengakhiran buat pelajar yang gagal menempatkan diri ke mana-mana universiti kerana mereka masih berpeluang untuk menyambung pelajaran.
Menurutnya, pelajar yang melepasi syarat kelayakan masih mempunyai peluang iaitu melalui proses rayuan atau membuat rayuan terus ke institusi.
“Masalah utama isu ini adalah program pilihan mereka sangat kompetitif dan terhad tempatnya. Sebenarnya di Malaysia, kita ada banyak tracking iaitu Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma, matrikulasi dan asasi.
“Kita nak setarakannya juga sangat mencabar dan pada akhirnya, ia terpulang kepada institusi yang membuat keputusan memilih berdasarkan kepada keutamaan mereka.
“Keutamaan universiti biasanya pada home root atau feeder masing-masing. Bagi kursus seperti perubatan, pergigian dan undang-undang, biasanya mereka ada asasi atau matrikulasi untuk program sendiri.
“Itu sahaja sudah menyempitkan peluang untuk pelajar lain masuk. Tetapi, jangan kata pelajar yang keputusan bagus tak dapat. Mereka boleh dapat sambung belajar, cuma kena bersedia untuk berpindah ke program lain yang mungkin bukan pilihan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas Raduan, semua bidang yang ada mempunyai nilainya yang tersendiri dan pelajar tidak perlu kecewa bila tidak mendapat kursus pilihan sendiri.
“Jadi, kita kena cemerlang dalam bidang lain berdasarkan realiti yang ada. Tempat pelajar yang layak memang ada, cuma bukan untuk pilihan pertama. Mereka masih berpeluang melalui proses rayuan atau boleh terus merayu kepada institusi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!