8 minit untuk exco jawab soalan

Koo Ham menunjukkan draf pindaan Perintah-Perintah Tetap DUN Perak yang akan dibentangkan pada sesi DUN akan datang ketika sidang media, hari ini.
Koo Ham menunjukkan draf pindaan Perintah-Perintah Tetap DUN Perak yang akan dibentangkan pada sesi DUN akan datang ketika sidang media, hari ini.
A
A
A

IPOH - Persidangan DUN Perak yang akan dibuka pada 16 April ini buat pertama kalinya menetapkan masa selama lapan minit kepada Exco Kerajaan Negeri untuk menjawab setiap soalan pada Sesi Soalan Lisan.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, penetapan itu dibuat sebagai salah satu janji penambahbaikan institusi DUN oleh PH dan ia berlaku seperti mana yang dilakukan di Parlimen menetapkan masa enam minit kepada menteri untuk menjawab soalan ahli Parlimen.

Katanya, daripada lapan minit itu, lima minit pertama diperuntukkan untuk exco menjawab soalan bertulis manakala soalan tambahan boleh dikemukakan ADUN dalam masa 30 saat disusuli jawapan balas exco berkenaan dalam baki minit seterusnya.

"Ini untuk memastikan lebih banyak soalan yang dikemukakan ADUN-ADUN dapat dijawab. Jika tidak, mengikut amalan yang lepas kadang-kadang exco hanya membaca jawapan yang disediakan oleh jabatan sampai 20 minit.

"Jadi tak banyak soalan-soalan ADUN yang timbul untuk dijawab exco," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Sidang Media DUN Perak, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Setiausaha DUN Perak, Kamarul Ariffin Ayub dan Penolong Setiausaha DUN Perak, Dr Mohd Sani Kamaruddin

Pada Sidang DUN sebelum ini, setiap kali sesi persidangan ditetapkan selama satu jam hingga satu setengah jam untuk keseluruhan Sesi Soalan Lisan dan biasanya hanya sekitar lima hingga tujuh soalan dapat dijawab oleh exco dalam tempoh tersebut.

Dalam pada itu, Koo Ham berkata, salah satu usaha ke arah penambahbaikan perjalanan Sidang DUN Perak, beberapa pindaan akan dibuat ke atas Perintah-Perintah Tetap DUN Perak dan peranan DUN Perak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha telah dibuat secara komprehensif perubahan-perubahan yang hendak dibuat tetapi kerana proses ini agak panjang kita tak sempat bentangkan pada sesi ini dan dijangka akan dibentangkan pada sesi Julai akan datang.

"Kita telah pun membuat kajian yang teliti di mana semua pihak yang berkenaan telah dijemput seperti Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad; bekas Speaker DUN Perak, Datuk Seri SK Devamany, ahli Dewan Belia Perak, para akademik, peguam-peguam, wakil-wakil Parlimen dan wakil-wakil DUN negeri lain untuk mengkaji penambahbaikan yang akan dibuat ini.

"Drafnya sudah pun di peringkat terakhir. Kita telah berikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memperhalusi semua perkataan-perkataan supaya ia digunakan dengan tepat sebelum diserahkan kepada Penasihat Undang-undang Negeri Perak untuk diberikan ulasan," katanya.

Sementara itu, Koo Ham berkata, pembukaan Sidang DUN pada 16 April ini akan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang akan turut menyampaikan titah perasmian.

Katanya, sepanjang tempoh upacara perasmian bermula dari 8 pagi hingga 10 pagi, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab akan ditutup.

Beliau berkata, hari kedua kedua persidangan akan berlangsung pada 17 hingga 19 April dan seterus disambung pada 22 dan 23 April.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!