Tujuh penunggang ditahan pamer aksi bahaya di lebuh raya
KUALA LUMPUR - Tindakan tujuh lelaki menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, dekat sini selepas pulang makan di sebuah restoran terkenal mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan polis, pada Sabtu.
Difahamkan, tangkapan bermula jam 12.10 tengah malam itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Menurut sumber, tangkapan pertama membabitkan dua penunggang yang dikesan melakukan aksi 'superman', bersaing sesama sendiri dan zig-zag.
"Tangkapan seterusnya kira-kira jam 1.05 pagi berjaya menahan tiga penunggang yang turut dikesan melakukan aksi berbahaya itu.
"Dua lagi penunggang pula ditahan kira-kira jam 1.20 pagi selepas aksi superman dan bersaing sama sendiri dikesan dilakukan mereka di lebuh raya terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambah sumber, siasatan awal mendapati penunggang terbabit adalah daripada geng yang berasingan dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan di sebuah restoran di Seremban, Negeri Sembilan.
Ujarnya, kesemua motosikal jenis Yamaha 135LC, Yamaha Y15ZR dan Suzuki Raider R150 disita untuk tindakan lanjut.
Katanya, kesemua tangkapan melibatkan lelaki tempatan berusia lingkungan 17 hingga 27 tahun masing-masing dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Nilai dan BSPT Seremban untuk siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!