Disiplin kunci daya tahan negara hadapi cabaran seterusnya
SELEPAS menempuh tempoh ekonomi menguncup selama dua tahun disebabkan pandemik, kini kita memasuki suku terakhir 2022 yang mana, berdasarkan pelbagai data ekonomi akan direkodkan sebagai 'tahun pemulihan' untuk Malaysia.
Kita telah mencatat pertumbuhan ekonomi selama tiga suku tahunan berturut-turut iaitu 3.6 peratus pada suku keempat 2021, diikuti oleh 5.0 peratus pada suku pertama 2022 dan 8.9 peratus pada suku kedua 2022.
Pengangguran pada Julai tahun ini berada pada paras 3.7 peratus, penurunan ketara berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.
Jumlah perdagangan negara untuk suku kedua tahun ini berada pada paras tertinggi iaitu RM1.35 trilion dan kita berada di landasan tepat untuk mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus untuk 2022.
Semua ini adalah tanda-tanda jelas yang menunjukkan bahawa usaha gigih kita untuk memulihkan ekonomi membuahkan hasil. Disokong dengan usaha daripada pelbagai sektor di Malaysia, dasar-dasar responsif kerajaan telah membolehkan rakyat Malaysia bangkit semula daripada impak pandemik.
Walaupun semua ini nampak optimistik, kita juga perlu lebih realistik dalam mempersiapkan negara dan rakyat untuk menghadapi ramalan kelembapan ekonomi global pada 2023, yang bakal memberi kesan kepada negara dagang kecil seperti Malaysia.
Kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mengehadkan inflasi domestiknya juga bertujuan untuk memperlahankan ekonomi negara tersebut, di mana seluruh dunia telah terkesan, termasuk Malaysia.
Kenaikan kadar yang drastik ini telah menyumbang kepada kenaikan nilai dolar AS, tetapi telah menjejaskan ekonomi kebanyakan negara yang berdagang menggunakan mata wang AS – walaupun sebenarnya inflasi global memainkan peranan yang lebih besar dalam kenaikan harga berbanding dolar AS yang mengukuh.
Tambahan pula, perang yang berlarutan di Ukraine telah menjejaskan rantaian bekalan global dengan implikasi negatif terhadap ratusan juta orang serta menyebabkan kenaikan harga ekoran permintaan melebihi bekalan yang kian berkurangan.
Mungkin kita juga perlu persoalkan punca kepada masalah semasa dunia. Adakah kita terlalu bergantung kepada konsep globalisasi, dengan jejak karbonnya yang besar, terutama apabila pembekal sentiasa mencari sumber kos termurah di hujung dunia? Mengapa seluruh dunia bergantung pada satu mata wang rizab tunggal?
Mungkin trend deglobalisasi pula akan melakar sejarah kerana semakin banyak negara menumpukan usaha untuk berdikari, terutamanya di dalam hal sekuriti makanan dan sumber tenaga untuk kesejahteraan rakyat mereka?
Mungkin Asia perlu mempertimbangkan sebuah pentadbiran dunia baharu (new world order) yang berlainan bagi menjamin kepentingan 4.7 bilion penduduknya.
Dalam pada itu, bagaimana rakyat Malaysia boleh disiap siaga untuk ketidak tentuan masa hadapan? Bagaimanakah kita boleh membina daya tahan negara dengan cepat?
Sejak tahun2020, saya sentiasa menyokong pandangan jangka panjang walaupun sentiasa responsif kepada keperluan jangka pendek.
Pendekatan dasar Kementerian Kewangan yang responsif, bertanggungjawab dan reformis menjadi lebih penting di saat sukar seperti ini berbanding sebelumnya.
Ini penting bagi menyediakan rakyat dan perniagaan untuk menghadapi kelembapan ekonomi global yang bakal tiba, dan kecenderungan yang semakin meningkat ke arah deglobalisasi oleh negara-negara seperti China, India dan AS.
Bagaimanakah pula syarikat korporat kita boleh membantu negara perdagangan kecil seperti Malaysia untuk membina daya tahan rakyat apabila kuasa-kuasa besar semakin cepat menuju ke arah deglobalisasi? Di sinilah pendekatan senegara (Whole-of-Nation) kita akan menjadi lebih penting berbanding dahulu.
Bagaimana pihak korporat boleh membantu membina daya tahan domestik?
Kita mesti membina diri dari dalam dan salah satu cara adalah dengan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam ekosistem kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Walaupun ini menyokong objektif jangka panjang kami, saya rasa terdapat beberapa langkah segera yang boleh dilaksanakan oleh pihak korporat dan peserta pasaran untuk membantu negara. Senarai yang saya kongsi ini hanyalah beberapa cadangan.
Pertama sekali, syarikat-syarikat boleh dan harus melabur sebanyak mungkin pendapatan mereka di dalam negara, dan ini mungkin memerlukan pembentukan semula rantaian bekalan masing-masing untuk menerapkan lebih banyak input tempatan.
Pihak korporat juga boleh memperkasakan peniaga kecil dengan melibatkan mereka di dalam rantaian bekalan. Hal ini tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Kedua, tanggungjawab mempertingkatkan jaringan keselamatan dan perlindungan sosial tidak seharusnya terletak pada kerajaan semata-mata.
Program jaringan keselamatan sosial paling baik adalah yang dilengkapi dengan pendidikan celik kewangan.
Sektor korporat boleh berusaha mendidik dan memperkasa komuniti setempat mereka. Secara kebetulan, kita baru sahaja memasuki bulan Oktober, iaitu bulan celik kewangan yang ditetapkan oleh industri kewangan Malaysia.
Ketiga, pihak korporat dan GLIC juga harus memainkan peranan mereka dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.
Dengan dasar sifar Covid-19 China, ramai pelabur dari pelbagai negara telah menyatakan minat untuk berpindah ke Malaysia dan ini adalah satu perkongsian awam-swasta yang pasti boleh diusahakan.
Keempat, mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan boleh menggalakkan pelancongan domestik. Malah, kita masih belum menggunakan sepenuhnya sebahagian daripada peruntukan Bajet 2022 untuk sektor pelancongan.
Sektor ini juga perlu mempertingkatkan kerjasama merentasi industri, seperti dengan industri perubatan untuk mempertingkatkan pelancongan kesihatan yang berkualiti.
Kelima, syarikat korporat yang lebih besar juga mesti membantu syarikat yang lebih kecil, terutamanya di dalam ekosistem masing-masing untuk mencapai matlamat ESG mereka.
Walaupun Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menerapkan ESG dalam kebanyakan operasinya, sektor korporat, terutamanya perniagaan besar juga mesti memainkan peranan dalam menggalakkan pelanggan, pembekal dan vendor mereka untuk menerapkan prinsip ESG di dalam pengoperasian mereka.
Langkah-langkah kecil yang bakal memberi hasil yang besar
Walaupun saya tidak boleh kongsikan langkah-langkah yang akan dimasukkan ke dalam Bajet 2023, tetapi apa yang boleh saya katakan ialah disiplin adalah tema utama dalam belanjawan tahun depan, terutamanya ketika kita bersiap siaga untuk tahun yang lebih mencabar.
Untuk itu, selain daripada cadangan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal pada akhir tahun ini, Bajet 2023 juga akan membantu rakyat dan perniagaan untuk memupuk pemikiran yang lebih berdisiplin.
Analogi yang saya ingin kongsikan ialah apabila saya berjaya menurunkan berat badan daripada 85 kilogram (kg) ke 70kg beberapa tahun lalu, dengan berlari dan mengurangkan makan.
Saya tidak mengurangkan nasi sebanyak 50 peratus sekali gus (itu sememangnya amat sukar!). Sebaliknya, saya kurangkan 10 peratus setiap minggu dan akhirnya, saya mencapai berat yang disasarkan dalam masa dua bulan sahaja!
Saya rasa kita perlu mempraktiskan rasionalisasi subsidi kita dengan cara yang sama - secara beransur-ansur, tetapi dengan keazaman dan disiplin - untuk mencapai daya tahan fiskal masa hadapan.
Mengapa ini diperlukan? Saya ambil contoh bil subsidi menyeluruh tahun ini iaitu sebanyak RM80 bilion. Jika kita menyalurkan subsidi hanya kepada mereka yang benar-benar layak, dan katakan RM30 bilion boleh dijimatkan, berapa banyak sekolah, hospital, dan penambahbaikan pengangkutan awam yang boleh kita biayai untuk manfaat rakyat?
Logiknya mudah, mereka yang mampu, mesti membayar harga pasaran. Walaupun Kerajaan bertanggungjawab untuk menyokong rakyat dan sektor perniagaan semasa pandemik, namun semua sektor ekonomi dan sosial telah pun dibuka semula dan kita tidak lagi berada dalam fasa pandemik.
Contohnya, melalui subsidi gaji RM21 bilion, kita telah membantu 358,000 perniagaan dan 2.96 juta pekerja untuk bangkit semula. Sudah tiba masanya mereka meneruskan perjalanan tanpa bertongkatkan bantuan Kerajaan.
Kerajaan akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk melindungi rakyat daripada cabaran jangka pendek dan jangka panjang, tetapi usaha ini akan dicabar oleh kelembapan ekonomi global semakin hampir.
Jadi, apa yang kita perlukan adalah sedikit disiplin daripada seluruh Keluarga Malaysia untuk membantu kita mengharungi masa sukar yang bakal kita hadapi, bagi menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan untuk kita dan anak-anak kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!