Ramuan pemain import, berpengalaman kunci kejayaan JDT II
PENGENDALI Johor Darul Ta'zim II, Mariano Raul Echeverria nyata gembira dengan pencapaian yang diraih anak buahnya yang berjaya meraih kejuaraan Liga Premier.
Menurut Mariano, beliau mengakui kehadiran beberapa pemain berpengalaman dan import memberikan campuran pemain yang baik menjadi kunci kejayaan kepada pasukannya untuk menjadi juara terakhir Liga Premier.
“Musim ini saya gunakan 40 pemain dan ini adalah perkara normal di JDT II kerana pemain-pemain kami sering bertukar.
”Pemain yang berpengalaman dalam pasukan memainkan peranan yang sangat penting, dengan gabungan bersama pemain-pemain muda,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, JDT II merangkul trofi Liga Premier buat julung-julung kali sejak kejohanan divisyen dua itu diperkenalkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 2004 selepas menewaskan Selangor 2, 1-0.
Gol kemenangan skuad dari selatan tanah air itu dihasilkan pemain sensasi, Daryl Sham pada awal separuh masa kedua.
Dalam pada itu, pengendali berusia 41 tahun dari Argentina itu turut menganggap trofi Liga Perdana yang dimenangi skuad itu sebagai hadiah bermakna buat negeri Johor dan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Sangat teruja dengan musim ini. Kejayaan ini adalah sangat penting buat kelab ini kerana kami berjaya mengikut jejak JDT dan JDT III yang juga bergelar juara.
“Tahun 2022 adalah yang baik buat Johor terutamanya untuk Tunku Mahkota Johor (TMJ) serta diri saya dan keluarga,”ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!