MIC lantik penyelaras parti di semua kerusi pernah ditandingi
KUALA LUMPUR - MIC sudah melantik penyelaras jentera pilihan raya parti itu di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandinginya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau menegaskan, jentera MIC sudah bersedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.
"Penyelaras MIC sudah dilantik dua tahun lebih awal (sejak dua tahun lepas),” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta di sini hari ini.
Semalam, sejurus selepas Majlis Tertinggi (MT) UMNO bermesyuarat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, UMNO membuat ketetapan mahukan supaya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Sementara itu Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia mengingatkan peserta konvensyen yang sebahagian besarnya golongan belia agar mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran global. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!