Pertimbang tubuh kerjasama monetari antarabangsa
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia percaya kerjasama dan penyelarasan monetari antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua.
"Satu contoh kerjasama yang pernah dilaksanakan di peringkat dunia untuk menangani ketidaktentuan pasaran mata wang antarabangsa adalah Perjanjian Plaza atau Plaza Accord pada 1985 yang bertujuan untuk menyusutkan nilai dolar AS terhadap yen Jepun dan mark Jerman, melalui campur tangan di pasaran mata wang antarabangsa.
"Ini disusuli oleh Perjanjian Louvre pada 1987 yang bertujuan untuk menstabilkan pasaran mata wang antarabangsa, dan menghentikan penurunan berterusan dolar AS berikutan Plaza Accord,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata selain itu, kerjasama lain yang pernah dilaksanakan di peringkat dunia adalah semasa Krisis Kewangan Global 2008 apabila bank pusat di negara-negara maju telah bekerjasama untuk mengelak krisis kewangan daripada merebak ke serata dunia.
Tengku Zafrul berkata institusi multilateral seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Bank Penyelesaian Antarabangsa (BIS) dan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) juga perlu lebih proaktif dalam membantu negara membangun seperti Malaysia dan lain-lain di rantau ini.
"Negara kuasa besar dunia perlu menggalas tanggungjawab dengan apa-apa keputusan dasar mereka.
"Sudah pastinya saya akan menyuarakan perkara ini di Mesyuarat Musim Luruh Bank Dunia dan IMF yang akan bersidang pada pertengahan Oktober kelak,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!