My #QuranTime bakal jadi fenomena, cetus gelombang 'tsunami'

Nota yang dibuat oleh Hasnah sepanjang mengikuti My #QuranTime. (Gambar dalam : Gharizah (kanan) dan Hasnah.)
Nota yang dibuat oleh Hasnah sepanjang mengikuti My #QuranTime. (Gambar dalam : Gharizah (kanan) dan Hasnah.)
A
A
A

SEREMBAN - Penganjuran Majlis Konvensyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 bakal menjadi satu fenomena yang mampu mencetuskan gelombang tsunami dalam usaha memperkasa budaya pembacaan dan pemahaman al-Quran.

Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, program bacaan dan tadabbur al-Quran itu yang telah memasuki 838 episod berjaya mengumpulkan lebih 15 juta penonton bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga seluruh dunia.

"Bagi saya ia telah berjaya mengubah fikiran ummah untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan mereka.

"Oleh sebab itu saya sangat berharap program tersebut diteruskan dengan pengisian yang lebih mantap sekali gus boleh menarik minat anak-anak muda mengikutinya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, para asatizah yang menyampaikan ilmu al-Quran secara mudah dan santai merupakan salah satu faktor program itu menarik minat ramai.

Oleh sebab itu katanya, tempoh satu jam berinteraksi dengan al-Quran itu dirasakan sangat pendek.

"Dengan tiga kali siaran secara mudahnya, kita dapat menjadualkan waktu untuk istiqamah mengikuti program itu sama ada di hadapan TV, telefon bimbit atau komputer riba.

"Saya sangat kagum dengan sahabat saya Datin Hasnah Abu Samah yang konsisten mengikuti program itu sejak dari awal lagi dengan menulis nota yang dapat dimanfaatkan bukan saja untuk dirinya tapi juga rakan-rakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Gharizah berpendapat, tadabbur al-Quran melalui program berkenaan lebih mudah difahami berbanding program lain dan sesuai untuk semua lapisan usia.

Ia diakui oleh Hasnah yang berasakan program My #QuranTime lebih mudah difahami dan membuatkan orang lebih bersemangat untuk belajar al-Quran.

"Bila waktu siaran program ini saya akan 'pulun' betul-betul untuk mengenal kalam ALLAH ini lebih dekat.

"Saya ini sudah bersara, jadi banyak waktu terluang dan tepat jam 12 tengah hari itu memang sudah bersedia depan televisyen dan kalau ada urusan saya akan tengok ulangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!