Zaharin ikrar terus bongkar ‘kemungkaran politik’ Zahid
SHAH ALAM - Blogger dan aktivis, Datuk Zaharin Mohd Yasin berikrar akan terus membongkar ‘kemungkaran politik’ yang didakwa melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, walaupun dipecat daripada UMNO, ia tidak akan sesekali menutup mulut dan ‘mematikan’ tangannya daripada menulis.
Malah katanya, pemecatan itu telah menaikkan semangatnya untuk terus mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum menolak BN dan UMNO di bawah kepimpinan Ahmad Zahid.
“Apakah tujuan? Hendak menutup mulut dan mematikan tangan saya daripada menulis kemungkaran politik oleh Presiden untuk kepentingan peribadinya?
“Seperti mana saya telah jelaskan dalam pemecatan saya yang pertama dan kedua, saya tidak membuat rayuan atas pemecatan saya.
“Begitu juga kali yang ketiga ini. Saya tidak akan merayu sebaliknya berterima kasih kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO kerana menyingkirkan saya sebagai ahli UMNO dan memberikan saya kemerdekaan menulis dan memberi pendapat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, pemecatan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat.
Zaharin bagaimanapun berkata, dari segi bidang kuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO, perkataan pecat adalah tidak tepat kerana dia tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab dan tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin.
Malah katanya, UMNO bahagiannya di Parlimen Bandar Tun Razak tidak pernah membuat keputusan dan cadangan aduan rasmi ke Pejabat Setiausaha Agung supaya beliau diambil tindakan disiplin.
“Keputusan ini lebih merupakan keputusan tindakan peribadi presiden dan kuncu-kuncu ‘kluster mahkamah’ dan ia dikira sebagai keputusan 'mi segera'.
“Setelah 52 tahun menyokong UMNO, saya tahu dan sedar bahawa UMNO sebuah parti yang mempertahankan sistem kapitalis (pemodal), parti yang dikuasai oleh elit politik dan bangsawan di mana saya mempertahankan sistem itu.
“Kini saya tidak menjadi ahli parti itu dan tidak lagi berminat berjuang atas landasan kanan. Maka pilihan saya dalam mencari wadah perjuangan pada masa depan, jika mahu menyumbang kepada perjuangan rakyat terbanyak adalah dengan memilih parti yang berwadah kiri,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!