Santhara, Xavier sah sertai PBM: Zuraida

Zuraida (depan, tengah) bersama barisan kepimpinan PBM ketika sidang media di Shah Alam pada Sabtu.
Zuraida (depan, tengah) bersama barisan kepimpinan PBM ketika sidang media di Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin pada Sabtu mengesahkan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar menyertai parti itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Zuraida ketika membuat ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama 2022 PBM pada Sabtu.

"Ada dua ahli Parlimen akan bersama dengan kita iaitu Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

"Penyertaan mereka menjadikan setakat ini ada enam ahli Parlimen dari PBM," katanya.

Pada 24 September, media melaporkan PBM diwakili Zuraida sendiri mewakili Parlimen Ampang, selain Larry Sng (Julau), Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) dan Datuk Dr Mohamadin Ketapi (Lahad Datu) di Dewan Rakyat.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu pula adalah dua di Selangor, iaitu Haniza Talha (Lembah Jaya) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa), selain tiga di Perak iaitu Leong Cheok Keng (Malim Nawar), A Sivasubramaniam (Buntung) dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh).

Zuraida menambah, ada dua ADUN dari Negeri Sembilan dijangka menyertai PBM tidak lama lagi.

"Insya-ALLAH akan menyusul dua ahli politik dari Negeri Sembilan. Mereka adalah ADUN," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada Santhara masih ahli Bersatu, Zuraidah berkata dengan pengumumannya itu, Santhara 'secara automatik' merupakan ahli PBM.

Mengulas mengenai penyertaan menjadi rakan gabungan BN, Zuraida menjelaskan, beliau telah bertemu dengan kepimpinan BN untuk membincangkan hal tersebut.

"Saya secara berterusan berbincang dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan beberapa kepimpinan BN yang lain termasuk UMNO dan parti BN lain.

"Maklum balas adalah positif dan hanya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!