Jin Wei berpeluh sebelum ke final Terbuka Vietnam
PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mengesahkan slot ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Vietnam pada Sabtu.
Jin Wei mara ke final selepas menewaskan pemain Vietnam, Thi Phuong Thuy Tran dalam aksi separuh akhir di Stadium Nguyen Du, Vietnam.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun dari Pulau Pinang itu yang tampil dengan reputasi pilihan ketujuh dipaksa bermain dalam tempoh 52 minit sebelum dapat menjinakkan lawannya, 12-21, 21-17, 21-14.
Bintang muda negara itu akan berdepan pemain tuan rumah, Thuy Linh Nguyen yang menewaskan rakan senegara, Thi Trang Vu, 21-15, 21-16 dalam masa 37 minit.
Sementara itu, hasrat pemain perseorangan lelaki negara Cheam June Wei untuk mara ke perlawanan akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain China, Sun Fei Xiang, 21-11, 21-17 dalam masa 43 minit.
Pasangan beregu lelaki negara, Junaidi Arif-Haikal Muhammad turut terkandas di separuh akhir dalam aksi 42 minit apabila tewas 17-21, 14-21 kepada pasangan dari China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!