Misi mulia Keluang Man

Awas!..Keluang Man memegang sepanduk 'Jangan Beri dan Jangan Terima Rasuah'.
Awas!..Keluang Man memegang sepanduk 'Jangan Beri dan Jangan Terima Rasuah'.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seiring sifat mulia seorang adiwira yang bersedia membantu orang ramai, Keluang Man kini menyertai Rasuah Busters dalam usaha menyebarkan mesej antirasuah dalam misi menyelamatkan negara daripada perbuatan jijik berkenaan.

Presiden Kelab Keluang Man Malaysia, Amir Hamzah Hashim berkata, sesuai dengan imej yang dibawa oleh Keluang Man dalam membantu orang ramai ketika dalam kesusahan, kini Keluang Man berganding bahu bersama Rasuah Busters dalam menjayakan agenda itu, terutamanya dalam usaha membanteras rasuah.

“Hari ini (Sabtu), kami sangat berbesar hati untuk bersama kempen Rasuah Busters (dalam agenda melawan rasuah).

“Kalau kita menonton siri Keluang Man dari siri satu hingga hujung, kita memang selalu menyelitkan elemen dan mesej-mesej antijenayah, lebih-lebih lagi antirasuah,” katanya kepada Rasuah Busters pada Sabtu.

Beliau ditemui pada Program Bacaan Ikrar dan Kempen Kesedaran bersama maskot Keluang Man di Istana Kehakiman di sini.

Amir Hamzah
Amir Hamzah

Amir Hamzah yang juga Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas) berkata, persamaan itu menyebabkan pihaknya terpanggil untuk menjalin kerjasama dengan Rasuah Busters.

“Jika ditonton siri Keluang Man, kami banyak menyelitkan isu rasuah dan juga jenayah dalam cerita ini.

Artikel Berkaitan:

“Waima kalau kita tonton animasi ini bos penjahat pun menyelitkan mesej antirasuah kepada konco-konconya, kami selitkan secara santai untuk memberi mesej kepada masyarakat dan hari ini kami tampil bersama Rasuah Busters untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap pentingnya memilih pimpinan yang baik dan seterusnya menjadikan negara bebas daripada rasuah,” tegasnya.

Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000.

Siri animasi itu diilhamkan oleh Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas dan Pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Md Noor serta pertama kali disiarkan pada tahun 1998.

Mempunyai tujuh musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man menampilkan jalan cerita amat unik yang mempamerkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan turut diselitkan dengan elemen komedi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!