DPMM mahu jaminan kestabilan politik

Abd Halim
Abd Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu memastikan situasi politik negara dalam keadaan stabil, sekali gus dapat menjamin kestabilan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr Abd Halim Husin berkata, apa yang menjadi kebimbangan rakyat ketika ini adalah situasi ekonomi masih tidak menentu dan kenaikan inflasi yang berterusan menyebabkan mereka berada dalam keadaan tertekan.

Menurutnya, ekonomi tidak dapat dipulihkan jika kerajaan yang dipilih nanti tidak stabil dan berulangnya episod bertukar kerajaan beberapa kali dalam tempoh sepenggal.

“Rakyat semakin tertekan dengan kadar faedah pinjaman yang semakin naik. Dalam keadaan dolar Amerika Syarikat yang meningkat, harga barangan mencanak naik di pasaran.

“Itulah kebimbangan terbesar DPMM dan rakyat sekarang ini iaitu untuk menjaga ‘perut’ masing-masing. Kita tak kisah pasal politik.

“Perniagaan sepatutnya sedang menaik selepas pandemik ini tetapi dengan keadaan kenaikan kadar faedah dan kesan daripada konflik Rusia dan Ukraine, perusahaan terutamanya domestik akan terjejas,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Halim menambah, sektor pelancongan misalnya, masih belum pulih dan kedatangan pelancong luar negara juga masih rendah terutamanya dari China yang banyak menyumbang kepada industri itu.

Industri pelancongan kini, katanya, lebih banyak disokong oleh pelancong domestik.

Artikel Berkaitan:

“Jika keadaan ini berlanjutan, maka pada tahun hadapan, rakyat yang masih lagi ada duit dalam poket akan ‘kekeringan’. Mereka tidak akan berbelanja sebab mereka akan mengutamakan ‘perut’ daripada berjalan,” ujar beliau.

Mengulas mengenai insentif pula, DPMM mengharapkan kerajaan yang dipilih dapat mempertimbangkan pemberian moratorium kadar faedah pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekerja dalam sektor PKS.

Katanya, kadar faedah yang tinggi amat membebankan pembayar hutang kepada bank, menyebabkan ramai yang akan tersepit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!