Warga emas didakwa cabul kehormatan bekas isteri

Tertuduh, 61, mengaku tidak bersalah mencabul bekas isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh, 61, mengaku tidak bersalah mencabul bekas isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan bekas isterinya, pada 4 April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, yang berusia 61 tahun dari Kampung Tanah Lot Gong Balai Merchang, Marang, mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa, 45, dengan niat untuk mencabul kehormatan di sebuah rumah di Kampung Tanah Lot Gong Balai Merchang, Marang.

Bapa kepada enam anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut lebih kurang 12 tengah hari pada 4 April lalu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Dengan itu, tertuduh yang bekerja sebagai tukang rumah berdepan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun, atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, tertuduh yang dipercayai sudah bercerai hampir tiga tahun dengan mangsa datang ke rumah wanita itu atas alasan untuk membaiki rumah.

Artikel Berkaitan:

Selepas itu, tertuduh dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh itu terhadap mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!