Penunggang maut motosikal terbabas
KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 54, Jalan Aring 15, Gua Musang pada Sabtu.
Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 32 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
"Pada masa sama pemandu pacuan empat roda jenis Kia Sportage datang dari dari arah bertentangan dan tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, mangsa yang meninggal dunia di lokasi dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang, Kelantan untuk bedah siasat.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!