Harapan pesakit jantung cilik pulih

Nor Aleeyah Sayeeda bersama ibunya pada program meraikan Hero Jantung 2022 di TGV AU2 pada Sabtu.
Nor Aleeyah Sayeeda bersama ibunya pada program meraikan Hero Jantung 2022 di TGV AU2 pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembedahan jantung yang mendapat pembiayaan sepenuhnya di bawah program kebajikan A Heart for A Heart Hospital Gleneagles Kuala Lumpur memberi harapan buat Nor Aleeyah Sayeeda Azril berusia enam tahun, membesar seperti kanak-kanak lain.

Ibunya, Noor Syafiqah Samsulbahri, 30, berkata, anaknya disahkan menghidap penyakit kecacatan jantung sejak lahir dan kesannya dilihat ketara ketika usia lapan bulan.

Menurutnya, injap jantung tersumbat menyebabkan anak kedua daripada tiga beradik itu akan kebiruan apabila kekurangan oksigen dalam badan.

“Dia mendapat rawatan di hospital awam dan bergantung sepenuhnya kepada oksigen sebelum kes dirujuk ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

“Nor Aleeyah Sayeeda menjalani pembedahan injap jantung tersumbat pada 2018 dan selepas lima hari pembedahan, keadaannya semakin cergas dan saya gembira apabila pertama kali melihat keadaannya tidak lagi kebiruan,” katanya pada program meraikan Hero Jantung 2022 sempena Hari Jantung Sedunia di TGV AU2 di pusat beli-belah AEON Setiawangsa di sini pada Sabtu.

Seramai 20 kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan jantung di bawah program A Heart for A Heart diraikan menerusi persembahan badut disusuli menonton wayang filem Super Pets.

Noor Syafiqah turut berterima kasih kepada penaja yang menyumbang di bawah program A Heart for A Heart, yang sekali gus memberikan peluang kepada anak-anak kecil untuk terus hidup.

“Semasa kes dirujuk di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, perkara pertama yang dirisaukan adalah dari segi kos memandangkan saya bukan daripada keluarga ber-kemampuan.

Artikel Berkaitan:

“Kos pembedahan mencecah RM60,000 namun sebaik dimaklumkan pembedahan tersebut dapat tajaan, saya lega dan sangat berterima kasih kepada penaja.

“Saya berharap lebih ramai badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat sama-sama tampil menjadi penyumbang bagi membantu lebih ramai pesakit kanak-kanak dalam kalangan B40,” kata Noor Syafiqah.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr S Sundar Raj berkata, seramai 1,400 kanak-kanak yang menghidap penyakit kongenital telah menerima manfaat tersebut sejak 1996.

“Kira-kira 50 hingga 70 pesakit diubati setiap tahun melalui kerjasama daripada rakan strategik dan penaja seperti Media Prima Berhad, Rotary Club Damansara West, One Hope Charity dan My Heart Associated.

“Tidak siapa mahu anak mereka sakit, namun pihak hospital memberikan sokongan buat ibu bapa supaya tidak berputus asa.

“Banyak hospital kerajaan dan swasta mempunyai program bagi membantu mereka yang kurang mampu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!