DAP mahu Anwar tanding di Perak

Kor Ming (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan RM50,000 daripada DAP Perak untuk DAP Pusat kepada Anthony sempena Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-21 di sebuah hotel pada Ahad.
Kor Ming (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan RM50,000 daripada DAP Perak untuk DAP Pusat kepada Anthony sempena Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-21 di sebuah hotel pada Ahad.
A
A
A

IPOH - DAP Perak mengalu-alukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen di Perak.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, ketokohan Anwar amat diperlukan dalam usaha memenangkan PH di negeri itu.

Menurutnya, berdasarkan rekod tiga pilihan raya umum sebelum ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti bertanding amat tipis dan seimbang.

"Oleh kerana itu sebagai pengerusi DAP Perak, demi membantu Perak menang, saya hari ini mengalu-alukan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di negeri Perak.

"Jika beliau datang, saya yakin bukan sahaja beliau akan menang tetapi akan membantu kita memenangi semula kerajaan negeri Perak. Jangan lupa, negeri Perak ini sudah tiga penggal 50-50," katanya ketika berucap sempena Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-21 di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir menyempurnakan konvensyen itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Sementara itu, Kor Ming turut mencadangkan agar Anwar bertanding di kerusi yang pernah mengkhianati PH iaitu di Parlimen Tambun diwakili oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim kata dia nak bertanding di kawasan pengkhianat. Jangan lupa di Tambun ada pengkhianat yang cukup besar mana dia bertanding, saya tunggu saja.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja di (Parlimen) Gombak, bukan saja (Parlimen) Ampang, Tambun lagi teruk," katanya sambil disambut sorakan perwakilan yang hadir.

Sementara itu, mengulas perkara sama ketika sidang akhbar selepas konvensyen, Kor Ming berkata, DAP tidak menetapkan lokasi khusus untuk Anwar bertanding.

Katanya, pelawaan tersebut dibuat untuk memberi kelebihan kepada negeri Perak jika Anwar menjadi Perdana Menteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!