Indonesia siasat tragedi korban rusuhan bola sepak
JAKARTA - Presiden Indonesia Joko Widodo hari ini mahu siasatan penuh dijalankan berhubung tragedi rusuhan yang mengorbankan 129 orang termasuk dua anggota polis dalam rusuhan yang tercetus selepas perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Sabtu malam.
Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) dan polis juga diminta melakukan penilaian menyeluruh terhadap pelaksanaan pertandingan dan juga prosedur keselamatan.
"Saya kesal dengan berlakunya tragedi ini dan berharap ini adalah tragedi terakhir bola sepak di tanah air. Jangan ada lagi tragedi kemanusiaan seperti ini di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Rusuhan selepas perlawanan antara Arema FC dengan Persebaya Surabaya turut menyebabkan 180 lagi cedera, menurut Polis Jawa Timur.
Ketua Polis Daerah Jawa Timur, Inspektor Jenderal Nico Afinta berkata, penyokong Arema yang berang setelah pasukan mereka tewas 3-2 dalam pertembungan 'derby Jawa Timur' memasuki kawasan padang untuk menyerang pemain dan pegawai.
Anggota keselamatan cuba memujuk penyokong kembali ke tempat duduk, tetapi mereka semakin ganas menyebabkan gas pemedih mata digunakan dan seterusnya berlaku rempuhan semasa mereka cuba lari keluar.
"Mereka berhimpit-himpit di salah satu pintu keluar, kalau tidak salah Pintu 10 atau Pintu 12 hingga menyebabkan ada yang sesak nafas dan kekurangan oksigen dan pasukan perubatan mencuba sedia upaya menjalankan usaha menyelamat," kata Nico.
Gas pemedih mata turut digunakan di luar stadium ke arah perusuh yang menghalang jalan keluar dan melempar objek ke kenderaan kereta perisai rombongan kelab Persebaya Surabaya.
Insiden itu turut menyebabkan beberapa penyokong Arema FC dan anggota keselamatan mengalami kecederaan serta 13 unit kenderaan polis rosak dan dibakar.
Sementara itu, Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan mengumumkan Liga 1 musim 2022-2023 digantung selama seminggu, manakala Arema FC dilarang menjadi tuan rumah untuk baki perlawanan.
"Kami memohon maaf kepada keluarga mangsa dan semua pihak atas kejadian ini," katanya.
Beliau berkata, pasukan penyiasat PSSI dihantar ke Malang dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk menyiasat kes yang mencalarkan imej bola sepak Indonesia.
Arema FC pula telah membentuk Pusat Pengurusan Krisis untuk menyalurkan maklumat dan sedia memberi pampasan kepada mangsa.
Kelab-kelab di Liga 1 Indonesia mengucapkan takziah atas tragedi yang berlaku, manakala di KUALA LUMPUR, ucapan sama dirakamkan Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT FC) kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban.
"Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda. Tiada tempat dalam bola sepak untuk insiden sebegini sehingga melibatkan kehilangan nyawa,” menurut JDT FC menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab.
Rusuhan Sabtu malam merupakan antara tragedi paling tragis dalam dunia bola sepak.
Pada 1964, 318 orang terbunuh dan 500 cedera semasa perlawanan kelayakan Olimpik antara Peru dan Argentina di Stadium Nasional di Lima, Peru.
Pada 2001, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penyokong liar semasa perlawanan antara Hearts of Oak dan Asante Kotoko di Ghana, Afrika menyebabkan 70,000 orang bergegas keluar dari stadium sekaligus berlaku rempuhan hingga 126 orang terbunuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!